Bekas pengarah DIDR berdepan 20 pertuduhan rasuah

Kei Yue (depan) didakwa bersubahat dengan pelbagai penjawat awam dengan menerima barang berharga tanpa balasan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis.
Kei Yue (depan) didakwa bersubahat dengan pelbagai penjawat awam dengan menerima barang berharga tanpa balasan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang bekas pengarah di sebuah jabatan kerajaan negeri mengaku tidak bersalah terhadap 20 pertuduhan bersubahat dengan penjawat awam menerima barang berharga tanpa balasan, di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis.

Tertuduh, bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Tseu Kei Yue, 58, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elsie Primus.

Menurut pertuduhan, Kei Yue didakwa bersubahat dengan pelbagai penjawat awam dengan menerima barang berharga seperti mesin basuh, telefon bimbit pintas, gitar bass, peralatan pejabat dan peralatan senaman daripada beberapa syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi mereka.

Nilai barang berbeza antara sekitar RM2,350 hingga RM7,100, manakala lokasi kejadian termasuk di kawasan Pusat Perindustrian Sri Inanam, kawasan bank di Inanam, Sandakan, Tawau dan Wisma Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.

Kesemua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Seksyen 165 menetapkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan deposit RM10,000, selain syarat tambahan termasuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu setiap dua bulan, menyerah pasport antarabangsa, dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 24 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip dan manakala tertuduh diwakili peguamnya, Bartholomew Jingulam.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang bekas pengarah jabatan kerajaan di Sabah mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan bersubahat menerima barang berharga
  • Kei Yue dibantu pelbagai penjawat awam menerima barang seperti mesin basuh dan telefon pintar daripada syarikat berkaitan kerja rasmi
  • Barang yang diterima bernilai antara RM2,350 hingga RM7,100 di lokasi seperti Inanam dan Kota Kinabalu
  • Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dan tarikh sebutan semula kes pada 24 April

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!