Krisis Asia Barat: PMKS perlu teroka peluang baharu

Mohd Azamanizam (lima dari kiri) menyerahkan pek makanan kepada Nor Akmal sempena Program Singgah Sahur Perdasama di Balai Sentral IPD Ipoh di sini pada Rabu.
Mohd Azamanizam (lima dari kiri) menyerahkan pek makanan kepada Nor Akmal sempena Program Singgah Sahur Perdasama di Balai Sentral IPD Ipoh di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini disaran meneroka peluang baharu serta mempelbagaikan model perniagaan bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan geopolitik susulan krisis yang berlaku di Asia Barat ketika ini.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, konflik antarabangsa termasuk ketegangan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran memberi kesan langsung kepada ekonomi global khususnya negara perdagangan seperti Malaysia.

Menurutnya, antara impak paling ketara ialah kenaikan harga minyak, kos logistik serta bahan mentah yang banyak diimport dari luar negara.

"Apabila berlaku krisis geopolitik dunia, rantaian bekalan global akan terganggu. Kesan ini bukan sahaja dirasai Malaysia, malah seluruh dunia.

"Banyak industri tempatan bergantung kepada import seperti bahan elektronik dan kimia. Apabila logistik antarabangsa terganggu, kos perniagaan juga meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Program Singgah Sahur Perdasama di Balai Sentral Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah penjimatan yang disarankan kerajaan susulan situasi semasa di Asia Barat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Asisten Superintendan Muhammad Asmawi Ramli dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah; Keselamatan Komuniti IPD Ipoh, Deputi Superintendan Nor Akmal Ramli serta Ketua Cawangan Kepolisan Am dan Komuniti IPD Ipoh, Asisten Superintendan Mohamad Shahran Tarmizi.

Menurut Azamanizam, PMKS perlu mengambil pendekatan lebih strategik dengan mempelbagaikan sektor perniagaan dan tidak terlalu bergantung kepada industri tertentu seperti minyak dan gas.

Katanya, usahawan tempatan juga perlu mula beralih kepada sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar, biojisim dan teknologi tenaga baharu yang lebih mampan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sebenarnya telah lama memperkenalkan dasar berkaitan ekonomi mampan, perdagangan karbon dan tenaga alternatif. Namun sebahagian usahawan masih kurang memberi perhatian.

"Krisis global yang berlaku sekarang sepatutnya menjadi peringatan supaya kita mengambil serius perkara ini dan menyesuaikan model perniagaan dengan perkembangan semasa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkukuh industri logistik tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada syarikat antarabangsa.

Menurutnya, Malaysia perlu membangunkan jenama logistik tempatan yang mampu bersaing di peringkat global bagi memastikan rantaian bekalan lebih stabil.

Selain itu, katanya, isu keterjaminan makanan negara juga perlu diberi perhatian serius bagi memastikan bekalan makanan domestik tidak terjejas sekiranya krisis global berpanjangan.

 

 

Ringkasan AI

  • Perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Malaysia disaran mempelbagaikan model perniagaan untuk mengurangkan kesan ketidaktentuan geopolitik
  • Konflik antarabangsa seperti ketegangan Amerika Syarikat dan Iran berkesan langsung kepada ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak dan kos logistik
  • Krisis geopolitik dunia mengganggu rantaian bekalan global, meningkatkan kos perniagaan terutama bagi industri yang bergantung kepada import
  • Usahawan tempatan disaran untuk beralih kepada sumber tenaga alternatif dan tidak terlalu bergantung kepada industri tertentu
  • Kerajaan dicadangkan untuk memperkukuh industri logistik tempatan dan memberi perhatian pada keterjaminan makanan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!