Bakal pengantin dicekup berkhalwat di kondominium mewah

JOHOR BAHRU - Bakal pengantin yang merancang untuk bernikah selepas Aidilfitri ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah kondominium mewah di bandar raya ini, awal pagi Isnin.
Serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 pagi selepas pihak penguat kuasa menerima aduan orang awam berkaitan kehadiran pasangan bukan mahram di sebuah unit kediaman di bangunan berkenaan.
"Pasukan penguat kuasa yang tiba di lokasi terlebih dahulu memperkenalkan diri kepada pengawal keselamatan sebelum menuju ke unit yang dimaksudkan untuk melakukan pemeriksaan.
“Pintu rumah diketuk beberapa kali sambil penguat kuasa memberi salam dan memperkenalkan diri, namun tiada respon pada awalnya sebelum pintu akhirnya dibuka kira-kira 10 minit kemudian oleh seorang lelaki.
“Pemeriksaan di dalam rumah studio itu menemui seorang wanita sebaya lelaki berkenaan yang turut berada di dalam unit berkenaan,” kata JAINJ dalam satu kenyataan.
Jelas JAINJ, hasil soal siasat awal mendapati pasangan tersebut mengaku belum berkahwin tetapi sudah bertunang dan merancang untuk bernikah selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Lelaki ini berumur 20-an, masih bujang dan bekerja di seberang tambak. Wanita ini umur 20-an atas kertas dan dalam sistem masih anak dara dan bekerja di seberang tambak juga.
"Pakaian lelaki ditemui dalam almari. Apabila ditanya kenapa wanita ini datang, dia menjawab tidak sihat dan lelaki ini perlu menjaganya," kata JAINJ.
Menurut JAINJ lagi, pasangan tersebut menganggap kondominium mewah akan terlepas daripada radar operasi penguat kuasa tetapi 'kantoi' juga akhirnya.
"Bila dah kena tangkap, baru rasa menyesal dan terfikir, macam manalah penguat kuasa boleh masuk tempat selamat macam ni," kata JAINJ.
Tambah JAINJ, rumah berkenaan baru lagi disewa dan mereka dijangka tinggal bersama-sama di sini selepas bernikah nanti.
Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.
Ringkasan AI
- Bakal pengantin ditahan kerana berkhalwat di kondominium mewah di Johor Bahru selepas Aidilfitri
- Serbuan dilakukan selepas aduan orang awam tentang kehadiran pasangan bukan mahram
- Pasangan tersebut mengaku belum berkahwin tetapi sudah bertunang dan merancang untuk kahwin selepas Hari Raya Aidilfitri
- Pasangan berumur 20-an, bekerja di seberang tambak, wanita datang kerana tidak sihat
- Ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

