Penuntut universiti maut jatuh kondominium

SEPANG – Seorang penuntut sebuah universiti tempatan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Cyberjaya di sini pada Sabtu.
Mangsa yang merupakan lelaki warga asing berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan lobi Tower 3 kondominium berkenaan kira-kira jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Cyberjaya bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di lantai lobi dengan tubuh badan berlumuran darah.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat unit kediaman yang didudukinya di kondominium tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, lelaki itu disahkan sebagai penunut di sebuah universiti tempatan.
Norhizam berkata, pasukan dari Jabatan Forensik turut dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui," katanya.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (LMM).
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Cyberjaya bagi tujuan bedah siasat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang penuntut universiti tempatan warga asing maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat kondominium di Cyberjaya
- Mangsa berumur 39 tahun ditemui tidak sedarkan diri di lobi kondominium
- Pihak polis menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi kejadian
- Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut
- Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

