Ops Middleman: SPRM beku akaun, sita RM7.7 juta

Azam (tengah) ketika sidang media perkembangan siasatan kes SPRM pada Rabu. Foto Bernama
Azam (tengah) ketika sidang media perkembangan siasatan kes SPRM pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan transaksi rasuah antara sindiket tonto dan penguat kuasa dianggarkan berjumlah RM12 juta dengan menggunakan akaun keldai sejak lima tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, transaksi yang bermula pada 2021 itu bertujuan memastikan kenderaan perdagangan tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh penguat kuasa yang bertugas.

"SPRM turut membekukan 59 akaun individu dan syarikat berjumlah RM4.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket ini.

"Kita telah menahan empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan empat anggota polis trafik serta dua pemilik syarikat dipercayai tonto dan seorang keldai akaun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Azam berkata, keseluruhan individu yang ditahan dalam kes itu adalah seramai 18 orang.

"Kita telah membuka setiap satu kertas siasatan berkaitan suspek tersebut," katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, nilai pembekuan dan sitaan adalah RM7.69 juta melibatkan wang tunai pelbagai mata wang, 25 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM2.5 juta, barang kemas kira-kira RM40,000.

"Kita turut merampas 27 telefon bimbit dan 41 unit walkie-talkie yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.

Azam juga mengesahkan, selain JPJ, SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam Ops Middleman.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah menghubungi Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar untuk bertemu dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, siasatan terhadap tonto dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala pegawai penguat kuasa disiasat di bawah Seksyen 17(a) akta sama kerana dipercayai menerima suapan.

"Modus operandi sindiket ialah menawarkan rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan berlebihan," katanya.

Beliau berkata, SPRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti akaun digital dan kemungkinan penglibatan pihak lain, selain tidak menolak operasi sama diperluas ke negeri lain.

“Kita mahu putuskan rantaian ini. Selagi ada orang tengah yang memudahkan bayaran rasuah, jenayah ini akan berterusan dan akhirnya menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pendedahan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa wujud kebocoran maklumat dalaman JPJ yang dipercayai membolehkan sindiket tonto mengetahui operasi penguatkuasaan lebih awal.

Ringkasan AI

  • SPRM mengesan transaksi rasuah sindiket tonto dan penguat kuasa berjumlah RM12 juta sejak lima tahun lalu
  • Transaksi bertujuan melindungi kenderaan perdagangan dari tindakan penguat kuasa
  • SPRM membekukan 59 akaun berjumlah RM4.7 juta dan menahan 18 orang termasuk pegawai JPJ dan anggota polis trafik
  • Nilai pembekuan dan sitaan keseluruhan adalah RM7.69 juta termasuk wang tunai, kenderaan mewah dan barang kemas
  • Ops Middleman melibatkan kerjasama SPRM dengan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam siasatan terhadap sindiket tonto dan pegawai penguat kuasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!