Pantai Hospital Melaka naik taraf kemudahan, perkukuh perkhidmatan

SHAH ALAM - Rangkaian penjagaan kesihatan multinasional IHH Healthcare, Pantai Hospital Melaka kini menaik taraf lobi utama, kawasan turun penumpang dan taman teres bagi menyokong aliran pesakit yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Pantai Hospital Melaka dalam satu kenyataan berkata, penambahbaikan tersebut merangkumi pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, usaha memperkukuh kemudahan dan perkhidmatan klinikal merupakan sebahagian daripada komitmen terhadap komuniti.
"Oleh itu, pihak hospital mengambil peluang untuk menilai dan menambah baik pintu masuk serta aliran trafik bagi memastikan pengalaman pengunjung lebih lancar.
"Manakala kawasan turun penumpang juga direka semula untuk meningkatkan kebolehcapaian dan mewujudkan pengalaman ketibaan yang lebih teratur.
"Selain itu, lobi utama kini menampilkan susun atur baharu yang mengintegrasikan kaunter pendaftaran, maklumat dan ruang menunggu dalam persekitaran yang lebih terbuka dan terselaras," ujarnya.

Tambah kenyataan itu, kapasiti parkir telah diperluaskan melalui sambungan bangunan parkir bertingkat, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 940 petak.
Jelasnya, kawasan klinikal dan rawatan turut diperluaskan kira-kira 207,000 kaki persegi selain menaiktaraf pemodenan dewan bedah, penambahbaikan perkhidmatan Penjagaan Harian (Daycare) serta peluasan Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Hospital ini kini mempunyai kapasiti berlesen sebanyak 241 katil, dengan keupayaan untuk ditingkatkan sehingga 276 katil apabila diperlukan.
"Taman Teres yang baharu diperkenalkan meliputi lebih 4,000 kaki persegi, menyediakan ruang terbuka yang direka untuk membolehkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi dalam persekitaran hospital,"ulasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Selatan dan Timur Malaysia, IHH Healthcare Malaysia, Tan Yew Aik berkata, pelaburan dalam infrastruktur perlu menyokong penyampaian rawatan secara praktikal.
“Seiring perubahan permintaan penjagaan kesihatan, tanggungjawab kami adalah memastikan kemudahan kekal responsif dan terselaras dengan baik.
"Infrastruktur bukan terpisah daripada rawatan. Ia menyokong cara pasukan bekerjasama dan bagaimana pesakit melalui pengalaman mereka bersama kami," jelasnya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka, Dr Kevin Khoo Teck Joon, naiktaraf ini mencerminkan perhatian berterusan terhadap daya tahan operasi.
"Kami menilai bagaimana ruang kami berfungsi, pasukan berinteraksi dan pesakit bergerak dalam hospital. Penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

