Polis ambil keterangan 2 individu kes dakwaan cuba jatuhkan kerajaan

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan keterangan dua individu untuk membantu siasatan berkenaan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dua individu itu ialah pengadu dan saksi.
“Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti setiap maklumat yang diperoleh dan akan memanggil individu lain bagi tujuan siasatan.
“Beri ruang dan masa kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu, Mohd Khalid dilaporkan berkata, satu laporan diterima pihaknya pada Khamis berkenaan isu terbabit yang melibatkan dakwaan terhadap seorang individu tempatan berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.
Kata Mohd Khalid, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan lain, Jabatan Peguam Negara dengan tegas berkata, mana-mana pihak yang didapati terlibat, sekiranya ada, hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekod keterangan dua individu berkaitan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan
- Dua individu tersebut merupakan pengadu dan saksi
- Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
- Siasatan melibatkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan
- Pihak yang terlibat akan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
