Kes pijak al-Quran: Tiada rekod pengislaman di Pahang

Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan Firdaus Wong - Gambar kecil (Dr Asmadi)
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan Firdaus Wong - Gambar kecil (Dr Asmadi)
A
A
A

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang didakwa memijak al-Quran dan menghina Rasulullah SAW tidak mempunyai rekod pendaftaran pengislaman di negeri ini.

Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, semakan dalam pangkalan data mendapati nama individu terbabit tidak tersenarai sebagai mualaf berdaftar di bawah seliaan pihaknya.

Menurutnya, pemeriksaan silang turut dibuat dengan pihak berkuasa agama di beberapa negeri bagi mendapatkan pengesahan lanjut.

“Setakat ini, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur turut mengesahkan tiada rekod pengislaman bagi penuntut berkenaan.

“Bagi negeri-negeri lain, kami masih belum menerima maklum balas rasmi berhubung status pendaftarannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Dr Asmadi berkata, pihaknya juga telah menghubungi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pendedahan yang dibuat sebelum ini.

“Beliau masih belum memberikan sebarang maklum balas,” ujarnya.

Isu status agama pelajar berusia 21 tahun itu mula menjadi perhatian selepas Firdaus mendakwa lelaki berkenaan pernah melafazkan syahadah di hadapannya pada 25 April tahun lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit sebelum ini berhubung dengannya melalui Instagram dan bersungguh-sungguh meminta dibimbing untuk memeluk Islam.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, K Vikneswaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan berkaitan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau menerusi media sosial.

Pada 25 Februari lalu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di laman sosial.

Ringkasan AI

  • Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang mengesahkan pelajar IPTA didakwa memijak al-Quran dan menghina Rasulullah tidak berdaftar sebagai mualaf di Pahang
  • Semakan dengan pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur juga mengesahkan tiada rekod pengislaman bagi pelajar tersebut
  • Pihak MUIP telah menghubungi pendakwah Firdaus Wong Wai Hung untuk penjelasan lanjut namun belum mendapat maklum balas
  • Isu status agama pelajar itu mencuat selepas Firdaus mendakwa pelajar tersebut pernah melafazkan syahadah di hadapannya
  • Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah ditahan untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di laman sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!