Muflis boleh keluar wang KWSP

KWSP
KWSP
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi memutuskan individu yang diisytiharkan muflis boleh membuat pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, ia merupakan inisiatif utama bagi membantu meringankan beban kewangan ditanggung rakyat yang kini berdepan dengan cabaran koronavirus (Covid-19).

"Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan. Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020," katanya di sini hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut memutuskan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menangguhkan bayaran ansuran bulanan di bawah Akta Insolvensi 1967 bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.

"Bagi individu bankrap yang tidak berhasrat untuk mengambil inisiatif ini, bolehlah membuat permohonan untuk meneruskan pembayaran di Cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat itu turut membuat keputusan supaya perjanjian jual beli bagi pembelian aset individu bankrap diambilalih oleh Ketua Pengarah Insolvensi, Pegawai Penerima (PPp) dan Penyelesai bagi pembelian aset syarikat yang digulungkan.

"Mereka bolehlah memohon untuk penangguhan sehingga enam bulan untuk dipertimbangkan oleh KPI atau PPp," ujarnya.

Sehubungan itu, sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh disalurkan melalui talian hotline 03-88851065, 03-88851928 dan 03-88851313.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, orang ramai juga boleh mengunjungi laman web www.mdi.gov.my atau e-mel pkp@mdi.gov.my atau layari Facebook www.facebook.com/insolvensi.