Pembinaan ERCL capai kemajuan 90.81 peratus setakat Disember lalu


KOTA BHARU - Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer (km) mencatat kemajuan keseluruhan 90.81 peratus setakat Disember lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, prestasi memuaskan tahun lalu itu didorong oleh penyiapan kerja pengorekan bagi kesemua 41 terowong dan penyempurnaan kerja pemasangan landasan kira-kira 500 kilometer (km).
"Selain itu ia turut dipacu oleh pemasangan lebih 12,000 tiang Overhead Catenary System (OCS) bagi tujuan aliran elektrik," katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datul Seri Darwis Abdul Razak.
Menurut beliau, pembinaan Stesen Kota Bharu mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.06 peratus setakat Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.
Katanya, ia melibatkan pembinaan atas tanah seluas 20.94 hektar dan stesen penumpang ini membabitkan platform bertingkat.
Anthony memberitahu, ia dilengkapi dengan kemudahan seperti eskalator, lif, lokasi pick-up dan drop-off, lebih 500 lot tempat letak kereta, laluan pejalan kaki berbumbung, kawasan landskap dan kuarters pekerja serta krew kereta api.
Mengulas lanjut, ujarnya, fasa ujian dan pentauliahan ERCL yang dijadualkan bermula Jun ini disifatkan sebagai paling kritikal.
Kata beliau, hal ini kerana ia memastikan keseluruhan sistem rel itu stabil, selamat dan bersedia digunakan orang ramai sebelum perkhidmatan komersial dimulakan Januari 2027.
Ujarnya, proses berkenaan bukan sekadar ujian oleh pihak kontraktor, sebaliknya turut melibatkan penilaian menyeluruh oleh kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ini adalah fasa ujian paling penting untuk memastikan sistem itu benar-benar stabil dan selamat. Ujian dan pentauliahan mesti dibuat secara keseluruhan, melibatkan pelbagai sistem yang perlu berfungsi secara bersepadu.
“Ia merangkumi sistem rel, landasan, semboyan, elektrik dan lain-lain. Sebahagian ujian telah pun dibuat di peringkat kilang sebelum sistem dihantar ke tapak,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan memaklumkan Projek ECRL mencapai kemajuan 90.81 peratus
- Kerja pengorekan bagi kesemua 41 terowong dan pemasangan landasan sekitar 500 km telah disiapkan
- Lebih 12,000 tiang OCS dipasang untuk aliran elektrik
- Pembinaan Stesen Kota Bharu mencapai kemajuan 82.06 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini
- Fasa ujian dan pentauliahan ECRL dijadualkan bermula Jun untuk memastikan sistem stabil dan selamat sebelum perkhidmatan komersial pada Januari 2027
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

