Pertemuan Muhyiddin, Hashim kukuhkah hubungan Pas-Bersatu

KOTA BHARU - Pertemuan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Arau, Perlis pada Jumaat menamatkan spekulasi mengatakan hubungan antara kedua-dua parti yang dilihat 'goyah' sebelum ini.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, ia memperlihatkan hubungan antara kedua-dua parti itu berada dalam keadaan baik walaupun ada yang beranggapan sebaliknya susulan beberapa isu terdahulu.
"Baru-baru ini rombongan Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) ke rumah Tan Sri (Presiden Bersatu). Semalam, Tan Sri pula berjumpa dengan Mursyidul Am.
"Semua ini dalam rangka kukuhkan hubungan dan menyatakan walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan sebelum ini. Ia sekali gus memperlihatkan hubungan Bersatu dengan Pas kukuh," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan antara Muhyiddin dengan Hashim yang berlangsung di kediaman Mursyidul Am Pas itu di Arau, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Kamarudin memberitahu, dalam suasana hangat ketika ini pertemuan pada Jumaat itu membawa makna besar kepada kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional.
Media pada Jumaat melaporkan, Bersatu dan Pas akan mencari jalan bagi memperkukuhkan kerjasama dalam PN ekoran beberapa krisis melanda gabungan tersebut sebelum ini.
Menurut Muhyiddin, menerusi kunjungan itu, terdapat beberapa perkara dibangkitkan, khususnya berkaitan harapan dinyatakan agar perpaduan sekian lama terjalin dalam gabungan itu dapat diteruskan biar pun berdepan beberapa episod tidak begitu baik.
Beliau berkata, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah turut menyatakan komitmen bagi mencari jalan terbaik dalam membantu menyelesaikan permasalahan tertentu di Perlis.
Ringkasan AI
- Pertemuan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Arau, Perlis menamatkan spekulasi hubungan goyah antara kedua-dua parti
- Pertemuan itu memperlihatkan hubungan baik antara Pas dan Bersatu walaupun terdapat perbezaan sebelum ini
- Kunjungan Presiden Pas ke rumah Presiden Bersatu dan pertemuan seterusnya adalah untuk mengukuhkan hubungan antara kedua parti
- Pertemuan membawa makna besar kepada kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional terutamanya dalam suasana politik yang hangat
- Bersatu dan Pas akan mencari jalan bagi memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional ekoran beberapa krisis yang melanda gabungan tersebut sebelum ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


