X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu tunggal dirogol, lelaki maut ditikam

Polis mengusung mayat lelaki berusia 28 tahun sebelum dihantar ke HPRZ II untuk proses bedah siasat. Gambar kecil: Abdullah Mohammad Piah
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki bertindak kejam apabila bukan hanya merogol seorang ibu tunggal malah turut menikam seorang lelaki sehingga maut dalam kejadian di Kampung Mujur, Jelawat di Bachok dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu tersebut turut menyebabkan seorang lelaki lain yang juga rakan kepada si mati cedera.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dalam kejadian jam 7 pagi itu, wanita berusia 40-an itu sedang tidur di dalam sebuah bilik sebelum rumahnya dipecah masuk suspek.

Menurutnya, suspek berusia 19 tahun dan dikenali mangsa itu dikatakan meletakkan pisau di leher ibu kepada lima anak tersebut sebelum merogolnya.

“Mangsa menjerit menyebabkan suspek cuba melarikan diri dan jeritan tersebut menyebabkan dua lelaki yang sedang tidur di ruang tamu dan di dapur terjaga.

“Lelaki berusia 28 tahun berkenaan cuba menangkap suspek dan berlaku pergelutan sebelum ditikam di perut serta dada lalu mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, seorang lagi lelaki berusia 25 tahun cuba membantu dan berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa juga mengalami kecederaan di belakang badan dan kedua-dua belah tangannya.

"Kita sedang memburu lelaki berkenaan dan motif masih dalam siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat dan dan seorang lagi mangsa dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus