Beli MyKad palsu RM300 untuk dapatkan kerja

KUALA LANGAT - Mahu mendapatkan kerja merupakan alasan 'popular' diberi warga asing selepas dikesan memiliki kad pengenalan MyKad palsu yang dibeli pada harga RM300.
Perkara itu terbongkar selepas sebuah kilang elektronik di Telok Panglima Garang di sini digempur Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada Rabu.
Op Vape bermula jam 7.30 petang itu dijalankan bagi mencegah dan membanteras pemalsuan dokumen pengenalan diri khususnya kad pengenalan serta menangani penyalahgunaan dokumen pengenalan milik orang lain bagi tujuan pekerjaan.
Seorang wanita warga Indonesia dikenali Nulina, 37 berkata, dia diperkenalkan kepada seorang ejen oleh rakannya untuk mendapatkan MyKad palsu dengan bayaran RM300.
"Buat IC (MyKad) ini dengan kawan dan beli dari dia. Dia (kawan) beritahu kalau hendak kerja kena beli IC.
"Saya baru saja gunakannya dan IC ini sebab saya mahu kerja...tak tahu ini salah," kata ibu dua anak dalam nada perlahan ketika ditemui pemberita selepas ditahan di sini pada Rabu.

Bagi seorang wanita Indonesia berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Murni turut ditahan dalam serbuan terbabit mendakwa terpaksa menggunakan salinan MyKad milik orang lain kerana mahukan kerja.
"Saya masuk ke sini (Malaysia) pada 2024 selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah oleh ejen, tapi bila dah sampai sebaliknya pula berlaku, tiada apa-apa pekerjaan.
"Bermacam kerja saya buat..pekerja restoran. Lepas itu ada kawan ajak kerja kilang sini dan pakai IC kawannya untuk dapatkan kerja.
"Saya gunakan fotostat (salinan) sahaja, tak bayar pun. Masa mohon kerja bos pun tidak kata apa, mohon dan terus dapat kerja," dakwanya.
Difahamkan, kedua-dua individu terbabit antara 15 wanita Indonesia yang ditahan berkenaan kes demikian.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi terancang itu digerakkan hasil intipan tiga minggu dan berjaya mengesan kesalahan memiliki kad pengenalan palsu serta menggunakan kad pengenalan orang lain.

Jelasnya, tindakan JPN ialah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali.
"Di bawah tindakan JIM, kita akan siasat jika mereka masuk kosong tanpa dokumen, keduanya pas kerja sah yang tamat atau salah guna pas dan ketiga ialah tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala JTK pula akan menguatkuasakan Akta Kerja 1955," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan.
Turut hadir Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias.
Tambah Saifuddin, pihaknya akan meneliti semua elemen termasuk mengenal pasti dalang serta ekosistem kegiatan terbabit secara menyeluruh.
"Operasi bersama ini akan kita kenal pasti siasatan dibuka dengan mengumpul semua maklumat dan dokumen syarikat dari mana tenaga kerja ini diperolehi," ujarnya.
Tegasnya, kerajaan memandang serius sebarang bentuk penyelewengan dan pemalsuan dokumen pengenalan diri kerana ia memberi implikasi besar terhadap keselamatan negara.
Ringkasan AI
- Warga asing memiliki MyKad palsu untuk mendapatkan kerja dengan harga RM300
- Kilang elektronik di Telok Panglima Garang digempur oleh JPN, JIM, dan JTK untuk membanteras pemalsuan dokumen pengenalan diri
- Individu menggunakan MyKad palsu atau salinan MyKad orang lain kerana mahukan kerja
- Operasi terancang hasil intipan tiga minggu berjaya mengesan kesalahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu
- Kerajaan memandang serius pemalsuan dokumen pengenalan diri kerana implikasi terhadap keselamatan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
