Isteri buat laporan polis gara-gara suami botak

NEW DELHI – Seorang wanita dari India telah memfailkan aduan kepada polis terhadap suaminya yang telah dikahwininya selama dua tahun, mendakwa dirinya telah ditipu mengenai penampilan fizikal suami.
Lavika Gupta, seorang penduduk Gaur City Avenue-1 berkahwin dengan Sanyam Jain pada 16 Januari 2024.
Wanita itu mendakwa, dia dijanjikan seorang suami dengan 'rambut lebat', tetapi selepas perkahwinan mendapati suaminya botak dan memakai rambut palsu.
Menurut laporan polis yang dibuat pada 6 Januari lalu di Balai Polis Bisrakh, Gupta mendakwa, suaminya turut menyembunyikan fakta sebenar mengenai pendidikan, pendapatan dan status kewangannya.
Wanita itu juga menuduh Jain mengugut untuk mendedahkan foto peribadinya, melakukan keganasan fizikal dan menekannya untuk membawa marijuana dari Thailand ke India semasa perjalanan ke luar negara.
Kes itu telah didaftarkan terhadap lima individu, termasuk suami dan empat ahli keluarga mentua di bawah kes Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).
Tuduhan yang diambil termasuk kekejaman oleh suami atau keluarga, penghinaan dengan niat mencetuskan kekacauan, ugutan jenayah, pengkhianatan jenayah, serangan fizikal dan pelanggaran Akta Larangan Mahar.
Polis menegaskan bahawa siasatan masih dijalankan, sambil memberi amaran bahawa ketelusan dan kejujuran dalam perkahwinan adalah asas penting untuk hubungan yang sihat dan selamat.
Kes terbabit menjadi peringatan kepada masyarakat mengenai kepentingan berhati-hati dalam membuat keputusan perkahwinan, terutamanya apabila melibatkan maklumat peribadi, kewangan dan keselamatan diri. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang wanita di India mendakwa ditipu oleh suaminya mengenai penampilan fizikalnya setelah kahwin
- Mereka berkahwin pada 16 Januari 2024
- Suaminya dikatakan botak dan memakai rambut palsu untuk menyembunyikan keadaan sebenar
- Wanita itu juga mendakwa suaminya menyembunyikan maklumat tentang pendidikan, pendapatan dan status kewangannya
- Kes telah didaftarkan terhadap suami dan empat ahli keluarga mentuanya di bawah berbagai tuduhan termasuk kekejaman dan pengkhianatan jenayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

