[VIDEO] Lindungi PATI: Pegawai kanan dan isteri, dua penguat kuasa direman
AYER KEROH - Seorang pegawai kanan dan dua penguat kuasa daripada sebuah agensi penguatkuasaan di Melaka direman enam hari bagi membantu siasatan menerima suapan untuk melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Turut direman ialah isteri kepada pegawai kanan berkenaan berusia 37 tahun yang disyaki bersubahat dengan suaminya, termasuk membantu mengurus serta menerima wang suapan daripada beberapa majikan.
Perintah reman sehingga 11 Januari 2026 ke atas empat suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Kesemua suspek tiba di mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan khas (SPV) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, pegawai kanan itu bersama isterinya serta seorang penguat kuasa dipercayai menerima wang suapan sekitar RM20,000 sebulan daripada beberapa majikan sekitar Melaka.
Ia sebagai balasan melindungi premis terbabit agar tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan menggaji PATI tanpa permit kerja sah.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara 2021 hingga 2025.
Pembayaran wang suapan dipercayai dibuat secara tunai dan melalui transaksi ke akaun bank.
Sementara itu, seorang lagi penguat kuasa disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,950 secara keseluruhan daripada seorang pengurus restoran antara Januari hingga Julai tahun lalu bagi tujuan sama.
Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan di pejabat SPRM Melaka antara jam 11.50 pagi hingga 4.50 petang, Isnin.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan operasi tersebut dijalankan hasil kerjasama risikan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua pegawai terbabit difahamkan masih berkhidmat setakat ini.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai kanan dan dua penguat kuasa dari Melaka direman bersama isteri pegawai tersebut dalam kes suapan melindungi PATI
- Ditahan untuk membantu siasatan mengenai pengambilan suapan sekitar RM20,000 sebulan dari majikan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan menggaji PATI tanpa permit kerja sah
- Perbuatan suapan dilakukan antara 2021 hingga 2025 dengan pembayaran dibuat tunai dan ke akaun bank
- Seorang lagi penguat kuasa disyaki menerima rasuah RM1,950 dari pengurus restoran untuk tujuan yang sama
- Operasi penahanan dijalankan oleh SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

