Wanita maki, ludah polis didakwa hari ini

Laporan Sinar Harian berhubung padah maki, ludah polis, wanita tempatan ditahan
Laporan Sinar Harian berhubung padah maki, ludah polis, wanita tempatan ditahan
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang wanita yang ditahan kerana melakukan kekacauan, menghina agama, memaki hamun serta meludah ke arah anggota polis di kawasan Mergong di sini pada Rabu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa suspek akan dihadapkan ke mahkamah pada hari yang sama.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita ditahan selepas dikatakan memaki hamun dan meludah anggota polis dalam kejadian di Mergong.

Polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.11 tengah hari memaklumkan bahawa seorang wanita, dipercayai kurang siuman, telah menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan berkenaan.

Susulan maklumat itu, dua anggota polis yang menaiki kenderaan peronda (MPV) telah diarahkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan mengawal keadaan.

Setibanya di lokasi, anggota polis memperkenalkan diri namun suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah dengan jari ke arah salah seorang anggota terbabit.

Suspek turut membaling kad pengenalannya ke arah anggota tersebut selain meludah penjawat awam berkenaan sebanyak dua kali.

Dalam kejadian sama, suspek turut mengeluarkan kata-kata yang menghina agama Islam.

Berikutan itu, suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam), Seksyen 298 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kata-kata yang melukakan perasaan keagamaan) serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan (menghina kesopanan seseorang).

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang wanita ditahan akibat kekacauan, memghina agama dan meludah ke arah polis di Mergong, Alor Setar
  • Wanita tersebut akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar
  • Ditahan setelah melakukan tindakan menyerang dan memaki hamun anggota polis
  • Menerima panggilan kecemasan tentang wanita yang menyerang pekerja syarikat di Mergong
  • Suspek mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam dan bertindak agresif terhadap polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!