McGregor sanggup 'gadai maruah' lawan Jake dan Logan Paul

Conor (kanan) tidak menolak kemungkinan beraksi di gelanggang tinju menentang Jake (tengah) atau Logan Paul pada masa hadapan. Foto Agensi
Conor (kanan) tidak menolak kemungkinan beraksi di gelanggang tinju menentang Jake (tengah) atau Logan Paul pada masa hadapan. Foto Agensi
A
A
A

CONOR McGregor masih belum menutup pintu untuk beraksi menentang pempengaruh terkenal seperti adik beradik Jake dan Logan Paul serta KSI, walaupun hasrat itu pernah tergendala sebelum ini.

Setahun lalu, bekas juara dunia UFC itu cuba mengatur perlawanan tinju menentang Logan Paul yang berpotensi menjadi antara aksi paling menguntungkan dalam kariernya dengan sokongan dana daripada keluarga Ambani di India.

Namun, rancangan berkenaan tidak menjadi kenyataan selepas ia dikatakan disekat oleh pihak pengurusan UFC dan TKO, walaupun punca sebenar tidak pernah diperincikan.

McGregor bagaimanapun memberi bayangan bahawa pertembungan dengan pempengaruh media sosial itu masih berpotensi berlaku pada masa depan, khususnya selepas dia menamatkan karier profesional dalam arena seni mempertahankan diri campuran (MMA).

“Saya ada tawaran yang sangat lumayan. Perlawanan melibatkan YouTuber ini akan tiba masanya nanti.

“Buat masa ini, saya kembali untuk memburu kegemilangan, kejuaraan dan sejarah (merujuk kepada kemunculan semulanya di pentas UFC).

“Itu sasaran utama saya,” katanya kepada Bloody Elbow.

McGregor turut bertegas mahu kembali ke Octagon pada acara UFC di Rumah Putih yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jun 2026, sekali gus menamatkan penantian panjang peminat.

Dalam pada itu, McGregor yang terkenal dengan gelaran “The Notorious” turut menyasarkan cabaran lebih besar iaitu berdepan juara welterweight, Islam Makhachev dalam usaha memburu gelaran dunia ketiganya merentasi divisyen berbeza.

Artikel Berkaitan:

Walaupun McGregor terkenal dengan cita-cita besar, persoalan kini tertumpu kepada tahap kesiapsiagaan fizikal dan mentalnya selepas hampir lima tahun tidak beraksi.

Jawapan itu dijangka terlerai pada Jun nanti, sebelum hala tuju sebenar sama ada ke arah perlawanan berprestij atau aksi hiburan bersama pempengaruh media sosial dapat ditentukan.

Sebagai rekod, kali terakhir McGregor tampil di pentas Octagon adalah pada 10 Julai 2021 ketika berdepan Dustin Poirier di UFC 264.

Malangnya, pertarungan itu tidak memihak kepada McGregor apabila doktor menghentikan pertarungan selepas kakinya patah seawal pusingan pertama.

Paling diingati, McGregor tumbang di tangan Khabib Nurmagomedov di UFC 229 menerusi kuncian neck crank di pusingan keempat pada 2018.

Ringkasan AI

  • Conor McGregor masih terbuka untuk berlaga menentang pempengaruh seperti adik beradik Jake dan Logan Paul serta KSI
  • Bekas juara dunia UFC itu mencuba mengatur perlawanan tinju menentang Logan Paul dengan sokongan keluarga Ambani
  • Rancangan tersebut gagal disebabkan sekatan dari pengurusan UFC dan TKO
  • McGregor mengisyaratkan pertarungan dengan pempengaruh akan berlaku selepas dia bersara dari MMA
  • McGregor menyasarkan kembali ke Octagon UFC dan mahu berdepan Islam Makhachev untuk gelaran dunia ketiganya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!