Dua rakan ditahan bersama pil yaba bernilai lebih RM13,000

Antara barangan yang dirampas ketika serbuan anggota dari Balai Polis Ketengah Jaya di tepi Jalan Felda Kerteh, Ketengah Jaya, Dungun kira-kira jam 1 pagi pada Jumaat.
Antara barangan yang dirampas ketika serbuan anggota dari Balai Polis Ketengah Jaya di tepi Jalan Felda Kerteh, Ketengah Jaya, Dungun kira-kira jam 1 pagi pada Jumaat.
A
A
A

DUNGUN – Seorang lelaki dan wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di tepi Jalan Felda Kerteh, Ketengah Jaya di sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Ketengah Jaya kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan sejumlah pil disyaki dadah jenis yaba dengan anggaran berat keseluruhan 178.68 gram yang dianggarkan bernilai RM13,401.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki berusia 33 tahun positif methamphetamine manakala suspek wanita berusia 39 tahun pula negatif.

"Kedua-dua suspek yang merupakan rakan itu telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semua barang rampasan bersama suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bagi tujuan siasatan lanjut.

"Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran dadah yang terlibat," ujarnya.

Dalam pada itu, Maizura menasihatkan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta aktiviti jenayah supaya segera menghentikan perbuatan tersebut.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis bagi membanteras jenayah itu secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki dan wanita ditahan terlibat dalam pengedaran dadah di Dungun
  • Kedua-dua suspek ditahan jam 1 pagi oleh anggota Polis Ketengah Jaya
  • Dijumpai pil yaba berat 178.68 gram bernilai RM13,401
  • Lelaki positif methamphetamine, wanita negatif
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!