[VIDEO] Remaja bawah umur antara dituduh di bawah ATIPSOM

A
A
A

BUTTERWORTH - Dua wanita tempatan termasuk seorang remaja bawah umur serta seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersama menjalankan penyeludupan migran pada awal Disember lalu.

Tertuduh, Umi Kalsom Abidin, 29, dan remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Tiada pertuduhan dibacakan terhadap lelaki warga asing, Kyaw Zin Lin, 19, kerana memerlukan jurubahasa berikutan tidak memahami bahasa Melayu.

Lelaki warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk dibacakan pertuduhan penyeludupan migran pada awal Disember lalu.
Lelaki warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk dibacakan pertuduhan penyeludupan migran pada awal Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas dengan niat bersama telah menjalankan aktiviti penyeludupan migran melibatkan lima warga Myanmar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada jam 6.40 petang, 2 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Nur Amalina Harun, manakala Kyaw Zin Lin diwakili peguam, K Puvirajan.

Artikel Berkaitan:

Umi Kalsom dan remaja berkenaan bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Siti Nur Amalina tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak dibenarkan jaminan dan memohon tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa.

Roslan kemudiannya menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes dan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Kyaw Zin Lin turut menghadapi pertuduhan imigresen di Mahkamah Bukit Mertajam, namun mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk kehadiran jurubahasa.

Difahamkan, Umi Kalsom dan remaja berkenaan berperanan sebagai 'transporter' manakala tertuduh lelaki bertindak sebagai ejen.

Ringkasan AI

  • Dua wanita Malaysia dan seorang lelaki warga Myanmar didakwa atas kes penyeludupan migran di Mahkamah Sesyen Butterworth
  • Umi Kalsom Abidin dan remaja 17 tahun mengaku tidak bersalah, sementara Kyaw Zin Lin menunggu jurubahasa
  • Kesalahan penyeludupan melibatkan lima warga Myanmar di Seberang Perai Tengah, 2 Disember lalu
  • Tertuduh boleh dihukum maksimum 20 tahun penjara dan denda mengikut ATIPSOM dan Kanun Keseksaan
  • Kyaw Zin Lin juga hadapi pertuduhan imigresen, dengan perbicaraan ditetapkan pada 23 Februari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!