MBK laksana kadar kompaun parkir lebih rendah tahun depan

Kadar baharu kompaun parkir yang diumumkan MBK hanya bagi kesalahan meletak kenderaan di petak letak kereta tanpa membuat bayaran yang ditetapkan. Zaliza Zulkipli (gambar kecil).
Kadar baharu kompaun parkir yang diumumkan MBK hanya bagi kesalahan meletak kenderaan di petak letak kereta tanpa membuat bayaran yang ditetapkan. Zaliza Zulkipli (gambar kecil).
A
A
A

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bakal melaksanakan kadar baharu kompaun bagi kesalahan letak kereta berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun hadapan.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli, berkata kadar baharu ditetapkan sebanyak RM10 bagi bayaran yang dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan, manakala RM100 dikenakan selepas tempoh 30 hari.

Menurutnya, kadar baharu kompaun itu selaras dengan peruntukan di bawah Perintah 8, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta) Majlis Perbandaran Kuantan 2005.

“Maksudnya, kadar itu hanya terpakai bagi kesalahan meletakkan kenderaan di petak letak kereta tanpa membuat bayaran yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Zaliza berkata, pelaksanaan kadar itu bertujuan menggalakkan orang ramai membuat bayaran kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pada masa sama, langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan letak kereta yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” tambahnya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan letak kereta bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Kadar baharu kompaun itu lebih rendah berbanding kadar sedia ada ketika ini, iaitu RM30 bagi bayaran dalam tempoh 30 hari dan maksimum RM300 selepas tempoh berkenaan.

Sebelum ini, MBK turut mengumumkan penamatan perkhidmatan syarikat operator pengurusan tempat letak kereta secara aplikasi pintar di kawasan pentadbiran PBT itu berkuat kuasa 24 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, MBK memaklumkan semua bayaran caj letak kereta melalui saluran syarikat termasuk mesin parkir, kaunter pembayaran, aplikasi Flexi Parking, Touch ‘n Go dan Setel akan dihentikan sepenuhnya mulai 31 Disember ini.

Menurutnya, bermula 24 Disember lalu, bayaran hanya boleh dibuat di kaunter MBK dan menerusi aplikasi Pahang Go.

“Semua urusan permohonan sewaan tempat letak kereta hendaklah dikemukakan terus kepada Majlis Bandaraya Kuantan, berkuat kuasa 24 Disember 2025,” jelas MBK menerusi kenyataannya sebelum ini.

Ringkasan AI

  • MBK melaksanakan kadar baharu kompaun bagi kesalahan letak kereta berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan
  • Kadar baharu ditetapkan RM10 bagi bayaran dibuat dalam 30 hari, RM100 selepas 30 hari
  • Pelaksanaan bertujuan menggalakkan pembayaran kompaun tepat waktu dan meningkatkan pematuhan peraturan
  • Kadar baharu lebih rendah daripada kadar sedia ada
  • Bayaran caj letak kereta melalui saluran syarikat dihentikan sepenuhnya mulai 31 Disember, bayaran hanya boleh dibuat di kaunter MBK dan melalui aplikasi Pahang Go

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!