Gunung berapi Kilauea kembali meletus, lava menyembur tinggi

Tangkap layar rakaman video disiarkan secara langsung dan dikongsi oleh Reuters malam tadi.
Tangkap layar rakaman video disiarkan secara langsung dan dikongsi oleh Reuters malam tadi.
A
A
A

HAWAII - Gunung berapi Kilauea, antara yang paling aktif di dunia, meletus sekali lagi di Pulau Besar, Hawaii, dengan lava dan semburan asap tebal memancar ke udara, menurut rakaman video disiarkan secara langsung dan dikongsi oleh Reuters malam tadi.

Rakaman menunjukkan aktiviti letusan yang dramatik apabila lava keluar dari kawah dan memancut tinggi, sekali gus menarik perhatian orang ramai di seluruh dunia menerusi siaran langsung dan media sosial.

Menurut maklumat setakat ini, tiada laporan kecederaan, kerosakan harta benda atau arahan pemindahan penduduk dikeluarkan berhubung letusan terbaharu itu.

Aktiviti letusan gunung berapi berkenaan sebenarnya telah berlaku secara episodik sejak 23 Disember 2024, dengan beberapa siri letusan direkodkan sepanjang 2025, kebanyakannya tertumpu di kawah Halemaʻumaʻu dalam kawasan Hawaiʻi Volcanoes National Park.

United States Geological Survey (USGS) memaklumkan, letusan tersebut berlaku secara berkala dengan lava keluar dari kawah, namun sebahagian besar aktiviti masih kekal dalam kawasan gunung berapi dan tidak merebak ke kawasan penempatan.

Tahap amaran gunung berapi ketika ini diletakkan pada paras “WATCH / ORANGE”, menandakan aktiviti sedang dipantau rapi oleh pihak berkuasa dan pakar geologi.

Dalam beberapa episod sebelum ini, Kīlauea dilaporkan memancutkan lava setinggi ratusan meter ke udara, termasuk satu kejadian pada November 2025 yang menyaksikan pancutan lava mencecah kira-kira 400 kaki (121 meter).

Kilauea merupakan gunung berapi jenis shield volcano, yang lazimnya menghasilkan lava cair yang boleh mengalir jauh, selain mengeluarkan gas berbahaya seperti sulfur dioksida serta abu gunung berapi, bergantung kepada arah tiupan angin.

USGS dan pihak berkuasa tempatan terus memantau rapi perkembangan terkini bagi memastikan keselamatan penduduk dan pelawat, khususnya di sekitar kawasan taman negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Gunung berapi Kilauea di Hawaii meletus lagi, memancarkan lava dan asap tebal ke udara
  • Tiada laporan kecederaan atau kerugian harta benda akibat letusan ini
  • Letusan berlaku secara episodik sejak 23 Disember 2024, dengan kebanyakan aktiviti di kawah Halemaʻumaʻu
  • Tahap amaran gunung berapi adalah pada paras "WATCH / ORANGE"
  • USGS dan pihak berkuasa memantau rapi perkembangan untuk keselamatan penduduk dan pelawat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!