Haaland terus mengganas, pintas rekod Ronaldo

PENYERANG berbisa Manchester City, Erling Haaland terus membuktikan statusnya sebagai antara penggempur paling digeruni di dunia apabila berjaya mengatasi rekod jaringan Cristiano Ronaldo dan menyamai pencapaian legenda Chelsea, Didier Drogba dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam aksi menentang West Ham United di Stadium Etihad, Haaland membuka tirai jaringan seawal minit kelima. Gol tersebut merupakan jaringan ke-18 musim ini dan yang ke-103 secara keseluruhan dalam kancah EPL.
Jaringan itu menyaksikan Haaland memintas jumlah gol yang dikumpul oleh ikon Manchester United, Cristiano Ronaldo.
Lebih menakjubkan, Haaland mencapai angka tersebut hanya dalam 113 perlawanan, berbanding Ronaldo yang memerlukan 232 penampilan untuk mencatat jumlah yang sama.
Tidak terhenti di situ, Haaland terus mempamerkan ketajamannya pada babak kedua apabila meledak satu lagi gol untuk menjadikan jumlah keseluruhannya kini 104 gol.
Pencapaian itu meletakkan dia setaraf dengan legenda 'Hall of Fame' EPL, Didier Drogba dalam carta penjaring sepanjang zaman.
Statistik jelas memihak kepada bintang Norway itu apabila beliau mencapai 104 gol jauh lebih pantas berbanding Drogba yang merekodkan jumlah tersebut dalam 252 perlawanan, iaitu perbezaan sebanyak 149 perlawanan.
Perlawanan ini juga merupakan kali ke-10 Haaland menjadi penjaring pembuka tirai buat City musim ini, dua kali ganda lebih banyak berbanding pesaing terdekatnya.
Ringkasan AI
- Erling Haaland melampaui rekod gol Cristiano Ronaldo dalam Liga Perdana Inggeris
- Haaland mencetak gol ke-103 dan 104 dalam perlawanannya yang ke-113, lebih cepat daripada Ronaldo yang mencapai jumlah gol yang sama dalam 232 penampilan
- Dia menyamai pencapaian Didier Drogba untuk jumlah gol dalam liga
- Haaland mengatasi Drogba dengan mencapai 104 gol dalam banyak perlawanan yang jauh lebih sedikit
- Ini merupakan kali ke-10 Haaland menjadi penjaring pembuka tirai untuk Manchester City musim ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
