Pemandu Vellfire direman langgar penunggang motosikal, terbabas dalam longkang

Tangkap layar tular video insiden seorang penunggang motosikal dirempuh sebuah MPV di Taman Johor Jaya.
Tangkap layar tular video insiden seorang penunggang motosikal dirempuh sebuah MPV di Taman Johor Jaya.
A
A
A

PASIR GUDANG – Seorang pemandu kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire ditahan selepas dipercayai melanggar seorang penunggang motosikal sehingga cedera dalam insiden yang tular berlaku di Taman Johor Jaya di sini, pada petang Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Vikra Mathitthan berkata, bertindak atas maklumat, lelaki tempatan berumur 18 tahun itu ditahan ditahan pada jam 9.40 malam Khamis.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal dikatakan menghalang laluan sebuah MPV.

"Pemandu MPV didapati membunyikan hon sehingga telah berlaku perselisihan faham dan pergaduhan antara kedua-dua individu tersebut.

"Seterusnya pemandu MPV itu juga didapati telah melanggar penunggang motosikal sehingga menyebabkan kecederaan kepadanya dan kerosakan kepada kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penunggang motosikal kini dirawat di Wad Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru kerana mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan serta pendarahan di kepala.

Jelas beliau, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan isterinya yang merupakan pembonceng motosikal turut mengalami kecederaan ringan selepas diseret dalam kejadian berkenaan.

Tambahnya lagi, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307, 506, 160 dan 182 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seri Alam kerana suspek didapati memandu secara melulu selain membuat laporan polis palsu berhubung kejadian tersebut," katanya.

Sebelum itu, tular video dikongsi di media sosial memaparkan pemandu MPV jenis Toyota Vellfire berwarna hitam merempuh penunggang motosikal.

Dalam rakaman itu, turut kelihatan seorang wanita cuba menghalang tindakan pemandu berkenaan.

Bagaimanapun, kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum termasuk ke dalam longkang.

Ringkasan AI

  • Pemandu MPV Toyota Vellfire ditahan kerana melanggar penunggang motosikal di Taman Johor Jaya
  • Kejadian berlaku apabila penunggang motosikal menghalang laluan dan berlaku pergaduhan
  • Penunggang motosikal kini dirawat di hospital akibat kecederaan ringan dan pendarahan di kepala
  • Suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan mengikut beberapa Seksyen Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan
  • Video insiden yang tular di media sosial menunjukkan kereta tersebut merempuh motosikal dan akhirnya terjatuh ke dalam longkang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!