Tiada unsur salah guna identiti - JPN

SHAH ALAM - Tiada sebarang unsur penyalahgunaan identiti dikesan susulan dakwaan tular di media sosial berkaitan penyalahgunaan nombor MyKad milik arwah bapa pengadu oleh seorang individu lain, termasuk dakwaan melibatkan warga asing.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan terperinci mendapati kedua-dua individu dirujuk dalam paparan tersebut merupakan warganegara Malaysia dan masing-masing mempunyai nombor MyKad berbeza.
Menurutnya, semakan juga mendapati tiada sebarang unsur penyalahgunaan identiti, pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah atau penglibatan warga asing seperti yang didakwa.
"Berhubung paparan Maklumat Wang Tak Dituntut (WTD) yang dikongsikan, JPN turut membuat semakan silang dengan agensi berkaitan bagi memastikan ketepatan maklumat.
"Pengadu mahupun orang awam adalah dinasihatkan supaya merujuk terus kepada pihak Bahagian Wang Tidak Dituntut (BWTD), Jabatan Akauntan Negara bagi tujuan pengesahan lanjut dan tuntutan, selaras dengan prosedur yang telah ditetapkan oleh agensi berkenaan," katanya pada Jumaat.
JPN juga mengesahkan bahawa nombor MyKad milik arwah bapa pengadu adalah sah dan kekal didaftarkan atas nama beliau, manakala pengesahan rasmi oleh waris berkaitan perkara tersebut boleh dibuat di mana-mana pejabat JPN.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa integriti dan keselamatan data pengenalan diri rakyat Malaysia sentiasa dipelihara dengan ketat, selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur keselamatan sedia ada.
JPN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan data dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi, tuduhan tidak berasas atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan awam.
Ringkasan AI
- Tiada unsur penyalahgunaan identiti nombor MyKad milik arwah bapa pengadu dikesan
- Kedua-dua individu dalam dakwaan tersebut merupakan warganegara Malaysia dengan nombor MyKad yang berbeza
- Semakan JPN menunjukkan tiada penyalahgunaan identiti atau penglibatan warga asing
- Pengadu dan orang awam dinasihatkan merujuk kepada Bahagian Wang Tidak Dituntut untuk pengesahan lanjut dan tuntutan
- Integriti dan keselamatan data rakyat Malaysia dipelihara ketat oleh JPN, tindakan akan diambil terhadap penyalahgunaan data
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

