Modal kecil bawa makna besar

Nur Liyana berkongsi, menang anugerah bukan sahaja simbol kejayaan tetapi juga memberi keyakinan dan kredibiliti kepada jenama Boohaci Infinity di mata masyarakat.
Nur Liyana berkongsi, menang anugerah bukan sahaja simbol kejayaan tetapi juga memberi keyakinan dan kredibiliti kepada jenama Boohaci Infinity di mata masyarakat.
A
A
A

BERMULA dengan hanya RM100 di tangan, usahawan, Nur Liyana Abd Malek, 35, tidak menyangka langkah kecilnya dalam bidang makanan dan minuman itu mampu berkembang menjadi kejayaan besar dengan jualan kini mencecah tujuh angka setahun.

Melihat potensi besar dalam pasaran makanan berasaskan bahan semula jadi, Nur Liyana menubuhkan Boohaci Infinity Sdn Bhd pada 1 Julai 2021 bagi mengembangkan pengeluaran produk berasaskan rumpai laut yang dirintisnya sejak awal.

“Boohaci kini beroperasi melalui dua kilang di Cheras dengan tenaga kerja seramai 15 orang.

“Di bawah jenama Teego, kami menghasilkan tiga kategori utama iaitu snek, susu segar dan biskut berasaskan rumpai laut yang diproses sendiri bagi menjamin kualiti serta keaslian bahan mentah,” katanya.

Bakat keusahawanan Nur Liyana mula terserlah sejak di bangku sekolah apabila beliau sudah mula berniaga seawal usia sembilan tahun dengan menjual biskut kepada rakan-rakan.

“Sejak kecil, saya seronok melihat hasil jualan sendiri dan mula memahami nilai wang. Dari situ, ibu mendorong saya untuk terus berniaga dan minat itu semakin mendalam dari tahun ke tahun,” ujarnya.

“Ketika berusia 13 tahun, keluarga saya mula membuka tadika dan taska. Pada waktu pagi saya bersekolah, manakala sebelah petang pula saya membantu menguruskan operasi pusat tersebut sehingga berumur 17 tahun.

“Pengalaman itu banyak mengajar saya tentang disiplin, cara mengurus pelanggan serta tanggungjawab dalam pekerjaan. Ia menjadi asas penting yang membentuk diri saya sebagai usahawan hari ini,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Susu segar Teego yang unik boleh dibekukan tanpa menyebabkan pemisahan dan rendah gula, sesuai untuk menyokong tumbesaran sihat kanak-kanak.
Susu segar Teego yang unik boleh dibekukan tanpa menyebabkan pemisahan dan rendah gula, sesuai untuk menyokong tumbesaran sihat kanak-kanak.

Bermula dari rumah

“Pada peringkat awal, modal saya hanya RM100 dan segala proses penyelidikan serta pembangunan (R&D) dilakukan sendiri dari rumah. Titik perubahan bermula apabila saya menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA).

“Melalui pameran itu, saya berpeluang mempelajari penggunaan mesin dan pengurusan pengeluaran dengan lebih sistematik. Dari situ, perjalanan perniagaan saya berkembang sedikit demi sedikit dan kini jualan telah mencecah tujuh angka,” ujarnya.

Menjelaskan langkah awal membangunkan produk, Nur Liyana berkata, semuanya bermula dengan eksperimen kecil terhadap citarasa pengguna tempatan.

“Pada mulanya, ibu meminta saya mencuba kulit popia berperisa rumpai laut dan saya terus tertarik dengan rasanya. Daripada situ, saya mula menambah baik resipi sedia ada dan meningkatkan kualiti bahan supaya boleh dipasarkan secara komersial.

“Seterusnya, saya melakukan ujian pasaran dengan menghasilkan maruku berperisa rumpai laut dan hantar ke lebih 200 stesen minyak. Idea itu akhirnya membawa kepada penghasilan produk sedia ada dan menjadi titik tolak kepada jenama Boohaci Infinity,” ujarnya.

Biarpun berani menyertai industri makanan dan minuman (F&B) yang penuh persaingan, Nur Liyana yakin Teego keluaran Boohaci Infinity tampil dengan ciri-ciri unik yang membezakan produknya daripada jenama lain di pasaran.

Biskut Teego yang juga merupakan salah satu produk keluaran Boohaci Infinity.
Biskut Teego yang juga merupakan salah satu produk keluaran Boohaci Infinity.

“Bagi snek rumpai laut, setiap produk mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia boleh dimakan terus atau dijadikan sup. Produk ini tidak mengandungi pewarna atau perasa tiruan dan sesuai untuk kanak-kanak yang mungkin sukar makan sayur.

“Kanak-kanak juga tidak akan mengalami masalah pencernaan seperti cirit-birit malah secara tidak langsung, mereka tetap mendapat khasiat sayur kerana teksturnya yang rangup dan menarik,” katanya.

Nur Liyana berkata, susu segar keluaran syarikat itu pula merupakan satu-satunya di Malaysia yang boleh dibekukan tanpa menyebabkan pemisahan, berbeza dengan susu lain di pasaran.

“Susu daripada Teego juga rendah gula yang mana hanya tiga gram setiap botol berbanding enam gram pada produk luar negara.

“Selain itu, susu kami diperkaya dengan Docosahexaenoic Acid (DHA) yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak dan perkembangan neuron. Sebagai ibu, saya memahami keperluan untuk menyediakan produk berkhasiat dengan kos yang mampu milik,” kata Nur Liyana.

Ringkasan AI

  • Nur Liyana Abd Malek bermula hanya dengan RM100 dan kini mencapai jualan tujuh angka setahun dalam industri makanan dan minuman
  • Nur Liyana menubuhkan Boohaci Infinity Sdn Bhd pada 1 Julai 2021 yang mengkhusus dalam pengeluaran produk berasaskan rumpai laut
  • Boohaci beroperasi melalui dua kilang di Cheras dengan 15 pekerja, menghasilkan snek, susu segar, dan biskut berasaskan rumpai laut
  • Nur Liyana mula berniaga sejak umur sembilan tahun, pengalaman yang membantu beliau memahami nilai wang dan membentuk minat dalam keusahawanan
  • Produk Teego keluaran Boohaci mempunyai ciri unik seperti bebas pewarna tiruan, sesuai untuk kanak-kanak, dan susu segar yang boleh dibekukan tanpa pemisahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!