Cahaya Hati 2.0 hidupkan ketenangan wanita

KUALA LUMPUR - Penganjuran Program Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Menuju Cahaya, Dari Hati Menuju Syurga berjaya memberi ruang kepada wanita membina ketenangan jiwa sambil mengukuhkan keimanan dalam usaha mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Jaringan Antarabangsa Muslimah One World Muslimah (OMW), Noor Razlina Noor Mohamed berkata, dalam menghadapi cabaran dunia kini, ramai wanita sering terdedah dengan keadaan tertekan, kecewa sehingga menjejaskan emosi dan kualiti kehidupan.

"Sesuai dengan tajuk program, kita fokus kepada diri wanita yang berada pada titik terendah untuk disuntik kembali harapan dan semangat agar golongan ini tidak berputus asa dalam mencari cahaya keimanan dan kekuatan takwa.
"Dalam majlis ini, kita menerapkan cara bagaimana untuk kita kembali kepada ALLAH SWT dalam keadaan hati kita terawat, terubat serta memahami bagaimana menuju ke syurga dengan mendekatkan diri dengan al-Quran, selain sentiasa bersabar mencari reda Yang Maha Esa," katanya.
Dalam majlis yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada Sabtu itu berjaya menghimpunkan seramai 1,500 peserta dari seluruh negara.

Noor Razlina berkata, penganjuran kali kedua yang memfokuskan pemantapan kerohanian itu turut menampilkan pendakwah tersohor Indonesia, Ustaz Irfan Rizki.
"Pada sesi soal jawab, pempengaruh, Fatin Nabila turut membuat perkongsian yang menekankan kepentingan solat, fokus dalam ibadah, memahami bacaan serta menghayati doa-doa dalam solat.
"Selain itu, pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin juga berkongsi peranan dan figura seorang ayah dalam institusi keluarga sekali gus membuka kesedaran peserta untuk memuliakan dan memperbaiki hubungan dengan ibu bapa," jelasnya.

Tambah beliau, secara keseluruhan program ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kerohanian, malah berperanan mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan peserta.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa penganjuran program seumpama itu akan diteruskan di Kota Bharu, Kelantan pada 31 Januari depan selain beberapa program berbentuk santai dan aktiviti luar turut dirancang di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ringkasan AI
- Program Cahaya Hati 2.0 bertujuan membina ketenangan jiwa dan keimanan wanita mendekatkan diri kepada ALLAH SWT
- Penganjuran ini memberi ruang kepada wanita yang berada pada titik terendah mendapatkan harapan dan semangat baru
- Majlis ini fokus pada cara kembali kepada ALLAH SWT dengan mendekatkan diri melalui al-Quran dan sabar mencari reda-Nya
- Seramai 1,500 peserta dari seluruh negara berkumpul di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade untuk menghadiri program ini
- Program ini turut membincangkan peranan dalam keluarga, khususnya hubungan dengan ibu bapa, dan berperanan mengeratkan hubungan kekeluargaan di kalangan peserta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
