Cari punca kegagalan skuad badminton berpasukan lelaki negara

Skuad berpasukan lelaki negara gagal menamatkan badi 20 tahun emas di Sukan SEA. Foto Bernama
Skuad berpasukan lelaki negara gagal menamatkan badi 20 tahun emas di Sukan SEA. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengarahkan pengarah kejurulatihan perseorangan serta beregu negara, Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky segera menjalankan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti punca aksi longlai skuad badminton lelaki negara pada final Sukan SEA Thailand 2025.

Malaysia sekali lagi kempunan pingat emas acara berpasukan lelaki selepas tewas kepada Indonesia 0-3 pada perlawanan akhir berlangsung di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit pada Rabu.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas pada edisi 2005 di Filipina.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pascanilai itu perlu dijalankan segera kerana skuad negara akan berdepan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2026 (BATC) di Qingdao, China pada 3 hingga 8 Februari tahun depan.

"Pertama sekali, memang satu keputusan mengecewakan dan memang kita kena buat sesuatu yang drastik.

"Jadi saya percaya selepas ini, kedua-dua pengarah kejurulatihan perlu kaji balik, lakukan pascanilai sebenarnya apa yang berlaku untuk pastikan perkara sebegini tidak berulang lagi terutamanya dalam persiapan menghadapi Kejohanan BATC pada Februari nanti," katanya.

Walaupun hampa dengan keputusan tersebut, beliau berharap agar para pemain kembali fokus dalam saingan individu yang bermula hari ini hingga Ahad.

BAM meletakkan sasaran empat emas pada temasya dwitahunan edisi kali ini.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengarahkan pengarah kejurulatihan Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky menjalankan penilaian menyeluruh terhadap skuad badminton lelaki negara
  • Malaysia tewas kepada Indonesia 0-3 dalam final Sukan SEA Thailand 2025
  • Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas pada edisi 2005 di Filipina
  • Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menekankan pentingnya pascanilai untuk persiapan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2026
  • BAM meletakkan sasaran empat emas pada temasya dwitahunan edisi kali ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!