Harimau belang muncul lagi di Kampung Membatu

Rakaman video satu saat berserta hantaran mengenai penampakan harimau belang di Kampung Membatu, Hulu Tembeling pada Isnin.
Rakaman video satu saat berserta hantaran mengenai penampakan harimau belang di Kampung Membatu, Hulu Tembeling pada Isnin.
A
A
A

JERANTUT – Seekor harimau belang dipercayai masih berkeliaran di kawasan berhampiran Kampung Membatu, Hulu Tembeling, di sini, sekali lagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Video penampakan haiwan liar berdurasi satu saat itu dirakam sebelum tular di laman sosial Facebook pada Isnin.

Menurut hantaran tersebut, kejadian berkenaan disedari seorang pekerja Felcra ketika dalam perjalanan ke tempat kerja antara jam 7 hingga 8 pagi, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk, khususnya penoreh getah yang keluar mencari rezeki pada awal pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yassin berkata pihaknya menerima aduan kejadian itu dan hasil siasatan awal oleh kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah mengesahkan kehadiran harimau berdasarkan kesan tapak terbaharu.

"Melalui satu rakaman video yang tular hari ini, ia dipercayai memaparkan harimau belang yang sama seperti dilaporkan pada 22 November lalu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau memberitahu, Perhilitan sedang berusaha menangkap harimau tersebut berikutan kekerapan penemuan kesan tapak di kawasan ladang, penempatan penduduk serta lokasi berdekatan, sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

"Kita kini sedang giat menjalankan pemantauan secara berterusan melalui rondaan berkala dan pemasangan perangkap kamera bagi mendapatkan maklumat pergerakan dan status kesihatan harimau.

"Selain itu, perangkap juga telah dipasang di lokasi strategik bagi tujuan tangkapan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk agar sentiasa berjaga-jaga, mengelakkan aktiviti pada waktu malam di kawasan kebun atau laluan hutan, serta menjalankan kerja kebun secara berkumpulan

Artikel Berkaitan:

"Jangan bertindak sendirian sebaliknya segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terlihat kelibat harimau atau menemui sebarang kesan baharu," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Harimau belang dipercayai berkeliaran di kawasan berhampiran Kampung Membatu, Hulu Tembeling
  • Video penampakan harimau tular di Facebook, dirakam oleh seorang pekerja Felcra
  • Pengarah Perhilitan Pahang mengesahkan kehadiran harimau melalui kesan tapak
  • Perhilitan melakukan pemantauan dan pemasangan perangkap kamera
  • Penduduk dinasihatkan berjaga-jaga dan melaporkan kepada Perhilitan jika melihat harimau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!