Dua gol awal hukum Ulu Yam Bharu

PENGENDALI skuad bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Yam Bharu, Zuhaimi Jasa tetap berlapang dada biarpun pasukannya terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas 0-2 kepada SK Serdang pada aksi final Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun (B-12) di Padang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Seksyen 5, Shah Alam di sini pada Sabtu.
Zuhaimi berkata, dua gol awal yang dilepaskan masing-masing pada minit keempat dan kelima menjadi tamparan besar buat anak buahnya, namun memuji disiplin pemain yang kekal fokus sepanjang 50 minit perlawanan.
Katanya, barisan pertahanan sudah diingatkan supaya tidak memberi ruang atau situasi bola mati kepada pemain utama SK Serdang, tetapi kelebihan individu lawan tetap menjadi pemisah keputusan perlawanan.
“Memang kita tahu SK Serdang ada pemain utama yang sangat baik dan saya sudah pesan supaya jangan beri ruang atau free kick kepadanya kerana itu memang kelebihan dia.
“Saya puas hati kerana kami tidak dibolosi lagi selepas itu. Pada babak kedua saya masukkan pemain tengah untuk mengimbangi kekuatan mereka, tetapi serangan kami kurang mencipta peluang,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas perjalanan pasukan sepanjang kejohanan, Zuhaimi menyifatkan pencapaian mara ke final sebagai perkembangan positif dan asas kukuh untuk pembinaan skuad musim depan.
Fokus utama beliau kini adalah mempertajamkan jentera serangan dengan corak lebih agresif.
“Melangkah sejauh ini sudah cukup positif untuk kami. Musim depan kami mahu kembali lagi ke kejohanan ini. Banyak perkara membantu membentuk karakter pemain, dan barisan serangan akan kami tajamkan lagi dengan pemain yang lebih agresif,” ujarnya.
Dalam aksi final itu, dua jaringan pantas Muhammad Arif Mohd Radzuan sudah memadai mengangkat SK Serdang sebagai juara selepas penyerang jersi nombor 10 itu menyumbat gol pada minit keempat dan kelima.
Prestasi cemerlang Muhammad Arif turut menghadiahkannya dua anugerah individu Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik kejohanan sekali gus melengkapkan hari bermakna buat pasukannya.
Anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi milik Mohd Haziq Ikhwan Mohd Hatta dari SK Ulu Yam Bharu, manakala SK Serdang turut meraih gelaran Kumpulan Sorak Terbaik selepas mendominasi kebanyakan kategori utama.
Hadir menyampaikan hadiah kejuaraan B-12 tahun itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan timbalan pengerusi kejohanan, Hashim Anang.
SK Sungai Lang, Banting pula sebelum itu menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menundukkan SK Seri Pristana dari Sungai Buloh 2-1 di Padang SK Putra Heights 2.
Juara membawa pulang RM5,000, diikuti RM4,000 untuk naib juara, RM3,000 untuk tempat ketiga dan RM2,000 untuk tempat keempat, masing-masing disertakan trofi serta pingat.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 32 pasukan sekolah rendah seluruh Selangor, menerima tajaan utama Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.
Ringkasan AI
- SK Ulu Yam Bharu terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas 0-2 kepada SK Serdang
- Dua gol awal SK Serdang pada minit keempat dan kelima menjadi kunci kemenangan
- Zuhaimi Jasa memuji disiplin pemainnya meskipun kalah dan menyatakan keperluan untuk membentuk serangan yang lebih agresif
- Muhammad Arif Mohd Radzuan dari SK Serdang memenangi anugerah Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik kejohanan
- Kejohanan ini disertai oleh 32 pasukan sekolah rendah seluruh Selangor dengan tajaan utama dari Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
