Pelajar politeknik ditemui meninggal dunia di rumah sewa

MELAKA - Seorang pelajar Politeknik Merlimau ditemui meninggal dunia di rumah sewanya dalam kejadian pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam lebih kurang 12 tengah hari daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sungai Rambai berhubung pengesahan kematian di sebuah rumah di Taman Merlimau Emas, Merlimau.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa, Mohamad Zul Hakimi Abdul Rahman, 19, ditemui tidak sedarkan diri di hadapan bilik tidurnya oleh rakan serumah.
“Rakan serumah mangsa segera menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan awal paramedik. Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit dan tinggal di sebuah rumah sewa bersama 14 rakan lain,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Politeknik Merlimau Melaka dalam satu kenyataan menzahirkan dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga atas pemergian pelajar semester tiga Diploma Kejuruteraan Elektrik berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Allahyarham baharu selesai menduduki peperiksaan pada sebelah pagi dan pulang ke kediaman rumah sewanya sebelum ditemui rebah oleh rakan serumah.
“Hasil bedah siasat dari Unit Forensik Hospital Jasin mendapati kematian berpunca daripada komplikasi tekanan darah tinggi yang serius.
“Jenazah telah dibawa pulang oleh keluarga ke Kulai, Johor untuk disemadikan,” menurut kenyataan itu.
Ringkasan AI
- Pelajar Politeknik Merlimau ditemui meninggal dunia di rumah sewa di Merlimau Mangsa, Mohamad Zul Hakimi Abdul Rahman, berusia 19 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan serumah Tiada sejarah penyakit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut Allahyarham adalah pelajar semester tiga Diploma Kejuruteraan Elektrik Kematian disebabkan oleh komplikasi tekanan darah tinggi yang serius
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
