Cipta peluang sendiri

SELEPAS beberapa bulan mencuba pelbagai resipi, perniagaan kecil Rini mula menarik pelanggan tetap, menandakan permulaan perjalanan yang bakal mengubah nasibnya dan suami secara serius.
“Kini, kami berjaya mempunyai satu gerai tetap AD Fried Chicken yang beroperasi setiap hari di pasar petang dan malam selain sebuah kafe francais, BigTastea dan pejabat urusan Chicki Mart sebagai stokis bahan mentah.
“Kami juga aktif di pelbagai platform media sosial supaya jenama sentiasa diingati serta mudah diakses pelanggan sambil mengekalkan kualiti produk dan harga yang mampu milik,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang strategi perniagaan, Rini mengakui tidak mempunyai rancangan formal sebaliknya mengamalkan prinsip mudah iaitu ‘jalan terus’ dengan merebut setiap peluang yang datang tanpa membuang masa.
“Kami menyertai pelbagai acara dan ekspo sambil mengekalkan operasi gerai tetap. Pendekatan ini yang membolehkan jualan meningkat kerana kami tidak menunggu peluang tetapi menciptanya sendiri.
“Keunikan AD Fried Chicken terletak pada penawaran peluang berniaga kepada orang ramai di bawah jenama kami sambil memberi tunjuk ajar tentang penyediaan ayam dari menggunting hingga menggoreng.
“Kami juga mengekalkan layanan mesra pelanggan dan harga berpatutan, menjadikan jenama ini kekal relevan serta digemari ramai,” katanya.
Demi meningkatkan kepercayaan pelanggan terutamanya mereka yang beragama Islam di Hulu Selangor, Rini berusaha memperoleh sijil halal demi membuktikan syarikatnya amat prihatin terhadap kualiti dan kebersihan produk.
“Sijil halal yang diperoleh Darwisy Resources bukan sahaja memberi keyakinan pelanggan untuk menjamu produk kami tanpa waswas malah membuktikan komitmen syarikat terhadap kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan.

HASIL JUALAN
Perniagaan di bawah Darwisy Resources semakin kukuh selepas syarikat itu menunjukkan peningkatan ketara dengan jualan mencecah antara RM1.6 juta hingga RM2.3 juta dalam tempoh tiga tahun.
Malah, Darwisy Resources turut menerima Anugerah Success Story 2023/ 2024, hasil bimbingan dan bantuan modal daripada Yayasan Hijrah Selangor.
“Anugerah ini memberi impak besar kepada reputasi syarikat yang mana ia bukan sekadar pengiktirafan tetapi turut membuka kepercayaan masyarakat terhadap jenama kami. Ia sekali gus meningkatkan semangat kami untuk terus berkembang.
“Yayasan Hijrah sangat membantu daripada pinjaman modal sehingga bimbingan untuk mengembangkan perniagaan. Dengan bantuan tersebut, jualan meningkat dan lebih ramai pelanggan mengenali produk kami,” katanya.

DETIK MENYENTUH HATI
Perjalanan perniagaan Darwisy Resources bukan sahaja menguji daya tahan Rini malah menonjolkan nilai kebersamaan dan kesetiaan pasukan serta keluarga dalam menghadapi cabaran.
“Saat paling menyentuh hati saya ialah kebersamaan suami, anak-anak dan pekerja sejak dari awal. Dari hanya kami berdua suami isteri, kini Darwisy Resources mempunyai 20 orang pekerja yang setia bersama dalam keadaan susah senang.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melanda, pekerja kami tetap membantu menjual dari rumah di mana kami menggoreng dan mereka menghantar kepada pelanggan. Saya hanya mengambil semula modal manakala selebihnya menjadi rezeki mereka. Ini membuktikan kejayaan bukan milik saya seorang tetapi hasil semua pihak,” katanya.
Rini berkata, Darwisy Resources bercadang membuka lebih banyak cawangan di luar Sabak Bernam untuk memastikan jenama terus berkembang.
“Insya-ALLAH, kami sedang merancang penambahan cawangan baharu. Dengan sokongan Yayasan Hijrah dan pelanggan setia, kami yakin perniagaan ini boleh terus berkembang.
“Matlamat jangka panjang syarikat adalah untuk membina lebih ramai usahawan francais yang mampu berdikari di bawah bimbingan Darwisy Resources,” kata beliau.
Beliau turut menasihati usahawan muda supaya berani mencuba dan tidak menunggu keadaan sempurna sebelum memulakan perniagaan.
“Bagi anak muda yang ingin memulakan perniagaan, jangan tunggu segala-galanya sempurna. Mulakan dengan apa yang ada dan ambil peluang kerana rezeki datang kepada mereka yang berani.
“Bantuan pelbagai agensi juga amat penting untuk memperluaskan perniagaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Selepas mencuba pelbagai resipi, perniagaan kecil Rini kini memiliki gerai tetap, kafe francais, dan pejabat urusan sebagai stokis bahan mentah
- Rini menggunakan strategi pemasaran aktif di media sosial, menjaga kualiti produk dan harga mampu milik untuk menarik pelanggan
- AD Fried Chicken menawarkan peluang berniaga kepada orang ramai bersama tunjuk ajar dari pemotongan hingga penggorengan ayam, mengekalkan layanan mesra dan harga berpatutan
- Darwisy Resources memperoleh sijil halal meningkatkan kepercayaan pelanggan, menyaksikan peningkatan jualan signifikan berjumlah antara RM1.6 juta hingga RM2.3 juta dalam tiga tahun
- Perjalanan perniagaan menunjukkan nilai kebersamaan dan kesetiaan, dengan rencana ekspansi dan membina lebih ramai usahawan franseis di bawah bimbingan Darwisy Resources, serta menerima Anugerah Success Story 2023/ 2024 dari Yayasan Hijrah Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

