Beregu campuran negara garang di Putrajaya
Kemenangan bergaya beberapa pasangan negara warnai hari kedua Kejohanan Kebangsaan

SAINGAN hari kedua Kejohanan Badminton Kebangsaan Petronas 2025 terus menampilkan aksi bertenaga dengan pemain menunjukkan keyakinan, kawalan permainan kemas dan ketahanan mental dalam usaha memburu slot ke pusingan seterusnya.
Saingan bermula dengan acara beregu lelaki yang menyaksikan gandingan Ungku Mohamad Ungku Ameer–Pang Khai Zhe berhempas pulas sebelum tunduk 13–21, 12–21 kepada pasangan Selangor, Ng Haotong–Wong Yin Heng.
Dalam acara beregu campuran, skuad negara membuka tirai dengan langkah kanan apabila Tan Zhi Yang–Nicole Tan meraih kemenangan straight set ke atas gandingan Selangor, Muhammad Al-Imran Jasni–Wong Zi Yi, 21–19, 21–12.
Momentum itu diteruskan menerusi pasangan Ahmad Redzuan–Teh Si Yan yang tampil meyakinkan untuk menumpaskan wakil Johor, Gavin Ng Jing Yi–Chong Ying, 21–8, 21–15.
Antara detik mencuri tumpuan ialah persembahan mantap pasangan baharu digandingkan, Datu Anif Isaac–Tan Zhing Hui yang tidak menghadapi banyak tentangan ketika mengatasi wakil Putrajaya, Ji Ian Cho–Zi Yi Liau, 21–10, 21–4 dalam masa hanya 19 minit.
Datu Anif mengakui gandingan baharu itu masih pada fasa penyesuaian namun komunikasi yang baik menjadi kunci kemenangan.
“Saya berpuas hati dengan persembahan kami hari ini. Walaupun ada kesilapan, secara keseluruhan kami bermain dengan baik.
"Cabaran bila ada pasangan baharu ialah komunikasi dan membina keserasian. Kami cuma sempat berlatih kira-kira dua minggu, jadi masih banyak perlu diperbaiki terutama koordinasi dan pemahaman gaya permainan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Zhing Hu pula menekankan aspek disiplin dan motivasi diri sepanjang perlawanan.
“Saya sentiasa ingatkan diri supaya fokus dan beri yang terbaik untuk pasukan. Setiap perlawanan adalah peluang untuk belajar dan jadi lebih baik,” ujarnya.
Beregu campuran turut menyaksikan kemenangan bergaya pasangan Isyraf Hafizin–Aina Maisarah yang mara selepas menewaskan Alex Chong Xi Xiang–Annabelle Chan Zho Xuan dari Putrajaya, sebelum giliran Wee Yee Tern–Clarissa San melengkapkan kemenangan straight set 21–15, 21–11.
Pertembungan tumpuan pula menyaksikan Ungku Ameer Alif–Tan Xi Yu memberi tentangan sengit kepada bekas pemain negara, Ng Eng Chong–Goh Jin Wei, sebelum tewas 19–21, 11–21.
Dalam acara perseorangan wanita pula, Carine Tee Xin Qi membuka tirai dengan kemenangan selesa 21–10, 21–8 ke atas wakil Johor, Gai Wan Yi.
Rentak cemerlang itu diikuti Jang Sher Ling yang bertarung tiga set sebelum menundukkan pemain Melaka, Khoo Bao Mei, 21–17, 16–21, 21–13.
Sementara itu, Teoh Mei Sue pula tampil tenang pada mata-mata penting untuk menewaskan Ung Yi Xing dari Negeri Sembilan, 21–18, 21–19.
Kemenangan lebih besar dicatat Lim Zhi Shin yang mengatasi pemain Selangor, Sharanya K, 21–10, 21–12, manakala Chong Shi Ming mencatat antara keputusan paling dominan hari ini dengan kemenangan 21–7, 21–7 ke atas wakil Terengganu.
Shaneesa Shahidi meneruskan rentak itu menewaskan Balqis dari Perak, 21–7, 21–10 sebelum Lee Mun menutup sesi perseorangan wanita dengan kemenangan 21–17, 21–9 ke atas pemain Pulau Pinang, Tan Shen Ting.
Ringkasan AI
- Saingan hari kedua Kejohanan Badminton Kebangsaan Petronas 2025 terus menampilkan aksi bertenaga
- Gandingan Ungku Mohamad Ungku Ameer–Pang Khai Zhe tunduk kepada pasangan Selangor, Ng Haotong–Wong Yin Heng
- Tan Zhi Yang–Nicole Tan meraih kemenangan straight set ke atas gandingan Selangor
- Pasangan baharu, Datu Anif Isaac–Tan Zhing Hui, menang mudah dalam masa hanya 19 minit
- Kemenangan besar oleh Lim Zhi Shin dan Chong Shi Ming dalam acara perseorangan wanita
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
