Media tonggak ketelusan pentadbiran MBDK

KLANG – Media terus memainkan peranan penting sebagai rakan strategik Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam memastikan pentadbiran yang telus, efektif dan responsif kepada lebih sejuta penduduk daerah itu.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, laporan, rencana dan visual yang dihasilkan media bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya menjadi sebahagian daripada sistem semak dan imbang yang membantu MBDK bertindak pantas terhadap isu setempat.
Ujarnya, liputan mengenai pembuangan sampah haram, anjing liar, kesesakan lalu lintas dan isu kebersihan memberi ruang kepada pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera serta menambah baik perkhidmatan sedia ada.
“Apabila media menyebarkan maklumat tentang program pembersihan Sungai Klang yang berjaya mengutip 1,234 kilogram sampah atau memaparkan kemeriahan Gerbang Deepavali di Jalan Tengku Kelana, ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran sivik, malah menyemarakkan perpaduan masyarakat majmuk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Media MBDK di Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang pada Jumaat malam.
Menurut Abd Hamid, MBDK amat menghargai kerjasama media sepanjang tahun 2025 dan tahun-tahun sebelumnya, yang disifatkan sebagai tonggak penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada warga Klang.
Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata, Klang baru sahaja menyambut ulang tahun kedua sebagai Bandar Raya Diraja, sebuah status yang hadir bersama cabaran besar namun disertai deretan pencapaian membanggakan.
“MBDK sedang berusaha memastikan status bandar raya ini benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk, namun perjalanan itu masih panjang, terutama dalam aspek pengurusan sisa, pembangunan lestari dan penyampaian perkhidmatan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau amat mengharapkan sokongan berterusan daripada media untuk memberikan liputan seimbang, adil dan membina dalam usaha menjayakan agenda pembangunan daerah itu.
Pada majlis berkenaan, Abd Hamid turut menyampaikan Anugerah Media MBDK sebagai pengiktirafan terhadap wartawan yang mempamerkan profesionalisme, kemahiran dan etika kewartawanan tinggi.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang dan peserta, selain berharap pengamal media terus kekal menyajikan laporan yang sahih serta memberi impak positif kepada masyarakat.
Ends
Ringkasan AI
- Media adalah rakan strategik penting MBDK dalam pentadbiran telus dan efektif
- Liputan media memberikan ruang tindakan segera pada isu setempat oleh MBDK
- Memaparkan program sukses dan perayaan membantu meningkatkan kesedaran sivik serta perpaduan
- Kerjasama media sepanjang tahun disifatkan sebagai tonggak penting oleh MBDK
- MBDK berusaha meningkatkan kualiti hidup warga dengan harapan sokongan media berterusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

