Faisal Halim sah cerai talak dua terhadap isteri

Faisal (kanan) berbincang dengan peguam-peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada Jumaat bagi pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya.
Faisal (kanan) berbincang dengan peguam-peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada Jumaat bagi pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya.
A
A
A

KLANG – Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Jumaat mengesahkan dua lafaz cerai pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim pada 11 Jun dan 10 November lalu sebagai sah dan telah menjatuhkan talak terhadap isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.

Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Faisal berkata, susulan itu, Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim mengesahkan kedua-dua lafaz tersebut sebagai sah.

Sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdul Halim, 27, telah melafazkan cerai kali pertama lima bulan lalu namun pasangan itu telah rujuk semula pada hari yang sama.

Katanya, bagi lafaz kedua, mahkamah mengarahkan Nur Syazwani Mizuana Shahril selaku defendan untuk menjalani tempoh idah selama tiga kali suci.

“Kita akan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk merekodkan perkara lain antaranya isu hadanah,” katanya.

Pemain sayap Selangor FC itu turut diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Nur Syazwani diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie.

Pada 2 September lalu, Nur Syazwani selaku pemohon telah memfailkan permohonan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, iaitu perceraian secara baik.

Bagaimanapun, pada 12 September, kedua-duanya tidak berhasrat meneruskan perceraian dan memilih untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak enam tahun lalu.

Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey telah berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Mahkamah Rendah Syariah Klang mengesahkan dua lafaz cerai Faisal Halim sebagai sah
  • Faisal telah melafazkan cerai pertama lima bulan lalu dan rujuk semula pada hari yang sama
  • Nur Syazwani Mizuana Shahril diarahkan menjalani tempoh idah selama tiga kali suci
  • Pasangan ini memilih untuk tidak meneruskan perceraian pada 12 September demi menyelamatkan rumah tangga
  • Faisal dan Nur Syazwani berkahwin pada 9 Mac 2019 dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!