Bot hampir karam: 19 mangsa ditemui, seorang meninggal dunia

LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) yang digerakkan susulan insiden sebuah bot hampir karam di perairan Timur Laut Pulau Perak pada malam Rabu berjaya menemui seramai 19 mangsa.
Daripada jumlah tersebut, 18 mangsa dilaporkan selamat manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua mangsa dikesan oleh kapal KD Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diberikan rawatan awal.
“KD Ledang tiba di Jeti TLDM MAWILA 3 sekitar jam 6 pagi tadi dan kesemua mangsa telah menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, mayat seorang lelaki turut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Selesai pemeriksaan, 18 mangsa yang selamat diserahkan kepada Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia bagi urusan susulan.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan bersyukur kerana 18 mangsa lain berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas serta koordinasi yang sangat baik antara semua agensi,” katanya lagi.

Romli turut menegaskan bahawa kejayaan operasi ini membuktikan tahap kesiapsiagaan dan komitmen tinggi pasukan penyelamat dalam memastikan keselamatan nyawa di laut sentiasa menjadi keutamaan.
“Dengan kesemua mangsa telah ditemui, Op Carilamat kini ditamatkan sepenuhnya,” ujarnya.
Pada Rabu, media melaporkan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sekurang-kurangnya lapan kru sebuah bot pancing yang karam di perairan timur laut Pulau Perak, dekat Yan.
Insiden itu dilaporkan oleh tekong bot pada 10.45 pagi selepas seorang kru bot terbabit memaklumkan kepadanya bot berkenaan hampir karam ketika berada di kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari timur laut Pulau Perak.
Ringkasan AI
- Operasi mencari dan menyelamat berjaya menemui 19 mangsa sebuah bot hampir karam di perairan Timur Laut Pulau Perak
- 18 mangsa selamat dan seorang lagi disahkan meninggal dunia
- Kesemua mangsa dikesan oleh kapal KD Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia
- 18 mangsa yang selamat diserahkan kepada Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia
- Operasi mencari dan menyelamat berakhir dengan semua mangsa telah ditemui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

