Kempen ‘A Caring Heart’ La gourmet perkasa komuniti istimewa

LA GOURMET meraikan ulang tahun ke-31 dengan melancarkan kempen ‘A Caring Heart’ bagi menyokong komuniti berkeperluan khas melalui sumbangan, program pembangunan kemahiran dan kolaborasi seni.
Pengarah Urusannya, Jean Yeap berkata, inisiatif itu dilancarkan sebagai komitmen berterusan syarikat untuk memberi kembali kepada masyarakat selain mengiktiraf bakat golongan istimewa.
“Ketika La gourmet meraikan 31 tahun pertumbuhan, kami sedar bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui pencapaian perniagaan tetapi dengan impak positif yang mampu diberikan kepada orang lain.
“Kempen ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa setiap individu tanpa mengira kemampuan berhak diberi peluang untuk belajar, berkembang dan bersinar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, La gourmet terus berkembang bersama rangkaian rakan runcit utama seperti AEON, AEON BiG, Aeon Wellness, House of Presentation, Isetan, Kitchen Shop, Parkson, Seibu dan SOGO bagi membentuk reputasi syarikat sebagai jenama dipercayai dalam produk perkakas dapur serta gaya hidup berkualiti.
Sempena pencapaian 31 tahun itu, La gourmet turut memperkenalkan koleksi khas ‘La gourmet Ray of Hope Collection’ merangkumi botol terma, bekas dan balang makanan, perkakas memasak serta pelbagai produk lain yang menampilkan karya seni oleh Yaya, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dalam spektrum autisme.

Lukisan penuh warna dan emosi sentuhan Yaya menjadi inspirasi kepada rekaan koleksi tersebut yang membawa simbol kasih sayang, harapan dan keindahan melihat dunia melalui perspektif seorang kanak-kanak berkeperluan khas.
Jean berkata, La gourmet akan menyumbangkan sebahagian hasil jualan ulang tahunnya kepada organisasi yang menyokong kanak-kanak dan dewasa berkeperluan khas.
“Dana tersebut akan digunakan untuk menyediakan program pembangunan kemahiran dengan melibatkan guru terlatih bagi memupuk bakat setiap individu sekali gus membantu mereka mencapai tahap berdikari dan sumber pendapatan mampan.
“Kami juga melantik ahli fisioterapi bertauliah untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mobiliti mereka. Melalui inisiatif ini, La gourmet berusaha meningkatkan kesedaran awam mengenai autisme, menggalakkan keluarga mendapatkan intervensi awal serta sokongan profesional untuk anak-anak mereka,” katanya.
Tambahnya, kempen ini bertujuan memupuk rasa belas ihsan, inklusiviti dan penerimaan dalam masyarakat.
“Justeru, La gourmet mengajak semua pelanggan dan rakan kerjasama untuk bersama menjayakan sambutan bermakna ini.
“Dengan setiap pembelian sepanjang kempen ulang tahun, pengguna turut menyumbang kepada usaha memperkasa kanak-kanak berkeperluan khas,” kata beliau.
Ringkasan AI
- La gourmet meraikan ulang tahun ke-31 dengan kempen 'A Caring Heart' untuk menyokong komuniti berkeperluan khas
- Inisiatif ini merangkumi sumbangan, program pembangunan kemahiran dan kolaborasi seni untuk memberi peluang pada golongan istimewa
- Kempen ini melibatkan penjualan koleksi khas 'La gourmet Ray of Hope Collection' yang menampilkan karya seni oleh Yaya, seorang kanak-kanak dalam spektrum autisme
- Sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada organisasi yang menyokong kanak-kanak dan dewasa berkeperluan khas
- La gourmet berusaha meningkatkan kesedaran tentang autisme dan menggalakkan sokongan untuk intervensi awal dan profesional bagi keluarga berkeperluan khas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

