Hajiji jawab tuduhan pembangkang

TUARAN - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menafikan tuduhan pembangkang kononnya tiada sebarang perubahan dibawa ke kawasan Sulaman yang diwakilinya selama lapan penggal.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga calon kerusi DewanUndangan Negeri (DUN) Sulaman itu menegaskan, beliau berjaya membawa pelbagai perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat selama ini.
Menurutnya, rakyat di Sulaman tahu apa yang dilaksanakannya dan kekal menyokongnya selama lapan penggal serta yakin mereka sekali lagi akan memberi kemenangan kepadanya pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah pada 29 November ini.
"Sebenarnya Sulaman ini cukup kita sayangi, saya nampak majalah 'Sulaman Yang Ku Sayang', memang saya sayang betul Sulaman.
"Jadi selama ini, kita bukan takbur tapi sokongan rakyat di Sulaman begitu hebat sekali kepada saya, kerana itulah selama saya jadi wakil rakyat, saya beri tumpuan, apa kita buat di Sulaman?
"Saya bawa pelbagai perubahan di Sulaman, hanya pembangkang saja yang tidak nampak apa kita buat.
"Perumahan besar di Sulaman, di pekan Tuaran, cukup untuk rakyat kita, kemudahan asas jalan raya ke kampung-kampung hampir 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Beliau juga tidak lupakan kawasan Mengkabong kerana sedar penduduk di situ merupakan penyokong kuatnya sejak sekian lama.
"Apa kita buat di sana, rumah atas air kita ganti dengan rumah atas tanah, sekarang selesa sudah berumah di atas tanah.
"Pembinaan kampung tersusun di Mengkabong itu adalah antara pencapaian besar hasil usaha saya membantu rakyat, selain satu lagi di Kampung Penimbawan.
"Dahulu masyarakat nelayan di kedua kampung tinggal di atas air, tapisekarang sudah pindah di daratan dengan diberi rumah percuma setiap keluarga," katanya
Menurut Hajiji, beliau melakukan semua itu kerana mahu membantu nelayan yang tinggal di atas air dengan memberi mereka perumahan.
"Sekarang kita ada Rumah SMJ lagi, walaupun ramai belum dapat tapi ini satu usaha yang baik.
"Untuk belia kita bina Kompleks Sukan Tuaran, bantu persatuan belia setiap tahun, bagi peruntukan.
"Jadi, siapa cakap kita tidak peduli orang muda di Sulaman, kita bagi bantuan bermacam-macam termasuk untuk berniaga kecil-kecilan.
"Sekarang kompleks sukan sedang dibina astaka membabitkan kos RM15 juta. Kita bagi kompleks sukan ini 100 ekar supaya macam- macam boleh buat di sana, malah ada cadangan untuk bina track kereta drag di sana," katanya.
Katanya, usaha itu dilakukan bagi mengubah wajah Tuaran menjadi kawasan yang lebih baik dan maju dengan segala keperluan asas rakyat dapat dipenuhi.
Beliau berkata, ia termasuk meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya laluan di antara Bulatan Berungis hingga ke Batangan yang kini sedang dinaik taraf menjadi jalan dua hala empat lorong.
Selain itu katanya, Projek Lebuhraya Pan Borneo dari Serusup, Tuaran ke Binturu, Kota Belud juga sedang dibina dan dijangka siap dalam dua tahun lagi.
"Apabila siap, orang di Penimbawan dan Kampung Baru-Baru nanti tidak payah lagi pusing di Ambong, Kota Belud, tunggulah dua tahun ada sudah jalan Pan Borneo dari Serusup hingga Binturu, ini perjuangn kita," katanya.
Sementara itu, beliau yakin majoriti daripada seramai 1,918 pengundi berdaftar di PDM Indai akan memilihnya pada 29 November ini untuk sekali lagi memenangkan beliau di Sulaman.
Katanya, beliau akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat Sulaman dan Tuaran keseluruhannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

