RM6,000 menanti badang negara di Thailand 2025

HABUAN RM6,000 menanti badang negara yang berjaya membawa pulang pingat emas dari Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand pada Disember depan.
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata, ganjaran itu merupakan insentif badan induk untuk mengakhiri kemarau pingat emas angkat berat negara sejak hampir 20 tahun lalu.
“Insentif ini termasuk tambahan RM1,000 daripada bekas atlet Mohd Firdaus Abd Razak yang beraksi di Sukan SEA 2011 sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Skuad angkat berat negara terakhir meraih pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2005 melalui Che Mod Azrol Che Mat yang mengungguli kategori 105 kilogram ke atas.
“Tahun 2025 adalah peluang terbaik untuk kami. Insya-ALLAH, kemarau akan dileburkan. Itulah tekad PABM, semoga ALLAH permudahkan usaha kami,” tambah beliau.
Thailand 2025 dijangka menyaksikan PABM menurunkan atlet terbaik negara bagi merealisasikan sasaran ini, dengan mempertaruhkan enam atlet lelaki dan tiga atlet wanita mengikut kategori berat masing-masing.
Bagi kategori lelaki, enam atlet yang disenaraikan ialah Mohd Aniq Kasdan (60kg), Mohd Azni Bidin (65kg), Muhammad Luqman Muhammad Hidayat (73kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), Muhammad Syahmi Nor Ghazali (94kg) dan Mohamad Faris Haikal Kamarul (94kg ke atas).
Sementara itu, tiga atlet wanita pula ialah Irene Jane Henry (48kg), Nur Syazwani Rodzi (63kg) dan Siti Aqilah Farhana Draman (77kg ke atas).
Ringkasan AI
- HABUAN RM6,000 menanti badang negara yang berjaya membawa pulang pingat emas dari Sukan SEA 2025 di Thailand
- Datuk Ayub Rahmat mengumumkan ganjaran termasuk tambahan RM1,000 daripada bekas atlet Mohd Firdaus Abd Razak
- Skuad angkat berat negara terakhir menang pingat emas pada Sukan SEA 2005 melalui Che Mod Azrol Che Mat
- PABM menargetkan untuk mengakhiri kemarau pingat emas angkat berat yang berlangsung hampir 20 tahun
- PABM akan menurunkan sembilan atlet terbaik negara dalam Sukan SEA 2025, termasuk enam lelaki dan tiga wanita
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
