Rusuhan mega anak muda di Mexico

Polis rusuhan Mexico menggunakan perisai untuk melindungi diri semasa demonstrasi menentang kerajaan.
Polis rusuhan Mexico menggunakan perisai untuk melindungi diri semasa demonstrasi menentang kerajaan.
A
A
A

MEXICO CITY – Lebih 100 orang cedera dan 20 ditahan semasa protes besar-besaran pada Sabtu di Mexico City bagi membantah cara Presiden Claudia Sheinbaum menangani jenayah keganasan, menurut pegawai kerajaan tempatan.

Ribuan penduduk membanjiri Dataran Zocalo, ibu negara, di hadapan Istana Nasional, kediaman rasmi Presiden, dalam demonstrasi yang menampilkan golongan muda Mexico, terinspirasi gelombang protes Gen Z di seluruh dunia, selain penyokong 'Pergerakan Sombrero,' yang muncul selepas pembunuhan seorang datuk bandar terkenal kerana membanteras kartel dadah.

AFP melaporkan penunjuk perasaan majoritinya daripada golongan muda selain dari pelbagai peringkat umur mengambil bahagian dalam himpunan itu dengan sebahagian memakai Balaclava.

Seorang penunjuk perasaan memegang bendera manga One Piece semasa protes menentang kerajaan Presiden Claudia Sheinbaum di Dataran Zocalo, Mexico City.
Seorang penunjuk perasaan memegang bendera manga One Piece semasa protes menentang kerajaan Presiden Claudia Sheinbaum di Dataran Zocalo, Mexico City.

Sekumpulan penunjuk perasaan bertopeng menumbangkan penghadang logam dan melempar batu ke arah polis yang membalas dengan gas pemedih mata.

Ketua keselamatan Mexico City, Pablo Vazquez berkata, protes ini berjalan aman selama beberapa jam sehingga sebilangan individu bertopeng mula melakukan keganasan.

Vazquez menambah 20 penunjuk perasaan dan 100 anggota polis cedera, termasuk 40 pegawai yang dimasukkan ke hospital akibat luka dan lebam.

Polis turut menahan 20 individu atas kesalahan kecurian dan serangan, selain memulakan siasatan terhadap serangan ke atas seorang wartawan dari akhbar La Jornada, yang mendakwa pegawai polis terlibat.

Artikel Berkaitan:

Demonstrasi itu sebahagiannya dipengaruhi oleh Pergerakan Sombrero, muncul selepas pembunuhan Carlos Manzo, seorang datuk bandar di Uruapan, Michoacan, pada 1 November.

Seorang lelaki mengibarkan bendera Mexico semasa protes berkenaan.
Seorang lelaki mengibarkan bendera Mexico semasa protes berkenaan.

Manzo terkenal dengan perjuangannya menentang kartel dadah di wilayah itu. Beberapa penunjuk perasaan memakai topi sombrero sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan beliau, walaupun balu Manzo menegaskan bahawa gerakan itu tidak berkaitan dengan demonstrasi Sabtu.

Pembunuhan Bernardo Bravo, pemimpin pengeluar limau di wilayah sama, pada akhir Oktober turut menimbulkan kemarahan rakyat.

Sheinbaum, yang memegang jawatan sejak Oktober 2024, sebelum ini menikmati kadar kelulusan melebihi 70 peratus pada tahun pertamanya, namun menghadapi kritikan berterusan terhadap polisi keselamatan selepas beberapa pembunuhan berprofil tinggi.

Pada sidang media pagi Sabtu, beliau mempertikaikan motivasi protes tersebut, menyifatkan ia sebagai 'tidak organik' dan 'dibayar dari luar'.

Penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis 'Kami semua Carlos Manzo' dan bendera lanun dari manga Jepun, One Piece yang menjadi simbol protes belia di seluruh dunia.

“Seharusnya anda lindungi Carlos Manzo seperti ini!” jerit sebilangan peserta kepada pihak berkuasa yang membalas dengan menggunakan pemadam api dan gas pemedih mata.

Pemandangan dari udara menunjukkan lautan manusia menyertai protes tersebut.
Pemandangan dari udara menunjukkan lautan manusia menyertai protes tersebut.

Protes ini menunjukkan gabungan kemarahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan menangani jenayah terancang dan trend global golongan muda yang semakin lantang menuntut keadilan.

Ia juga mencerminkan ketegangan politik dan sosial yang semakin meningkat di Mexico City yang kini menghadapi tekanan untuk memperkukuh keselamatan awam sambil mengekalkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman. - Agensi

INFO

Protes Antijenayah – Mexico City, 15 November 2025

Lokasi: Dataran Zócalo, hadapan Istana Nasional.

Punca: Bantah cara kerajaan tangani jenayah dan keganasan kartel dadah.

Peserta: Ribuan, termasuk golongan muda dan pelajar.

Kecederaan/Tahanan: 120 cedera, 20 ditahan, 40 polis dimasukkan hospital.

Ringkasan AI

  • Lebih 100 orang cedera dan 20 ditahan semasa protes besar-besaran di Mexico City bantah cara Presiden menangani jenayah keganasan
  • Ribuan penduduk termasuk golongan muda dan pelajar berdemo di Dataran Zocalo, sangat terinspirasi oleh Pergerakan Sombrero yang tercetus pasca pembunuhan seorang datuk bandar memerangi kartel dadah
  • Penunjuk perasaan memakai Balaclava dan topi sombrero, simbol solidariti terhadap perjuangan anti-kartel dadah
  • Protes berlangsung aman beberapa jam sebelum berubah keganasan, memaksa polis menggunakan gas pemedih mata
  • Demonstrasi mencerminkan kemarahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan menangani jenayah terancang dan keadilan sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!