Masyarakat berbilang kaum perlu tahu keindahan Islam

Mohd Kazim menyampaikan ceramah pada program berkenaan.
Mohd Kazim menyampaikan ceramah pada program berkenaan.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu mengetahui mengenai keindahan Islam sebagai agama yang mementingkan kedamaian dan kasih sayang.

Penceramah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias berkata, perkara asas seperti perlu diberikan perhatian dan dihebahkan kepada orang ramai.

Selain itu, menurut Mohd Kazmim, perkara berkenaan perlu sentiasa diwar-warkan agar Islam tidak lagi dilabel sebagai agama yang mengajar umatnya untuk berpecah.

“Sepatutnya kita ambil pendekatan ini. Islam tak ajar permusuhan, tetapi lebih pentingkan kedamaian, dan kasih sayang.

“Buat apa nak hiudp dalam keadaan hasut menghasut, fitnah memfitnah, dan kutuk mengutuk antara agama satu sama lain? Kena hormat satu sama lain.

“Perkara inilah yang perlu diwar-warkan, tapi sayangnya yang dibesarkan adalah perpecahan, ajakan untuk bergaduh sedangkan dalam ceramah tadi ajak untuk berkasih sayang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Kazim berkara demikian ketika ditemui sempena program Ceramah Perdana Datuk Mohd Kazim Elias di Masjid Ghufraniah Sungai Siput, malam tadi.

Tambah Mohd Kazim, progam berkenaan juga berjaya menarik kunjungan masyarakat bukan Islam untuk sama-sama mendengar ceramah yang disampaikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara berkenaan sekali gus membuktikan masyarakat berbilang kaum di negara ini boleh bersatu.

“Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana dapat menarik kunjungan daripada masyarakat Islam dan juga bukan Islam datang mendengar ceramah agama yang disampaikan.

“Biarpun dianjurkan di masjid, ia masih mampu menarik ramai orang termasuk bukan Islam. Bagi saya senario seperti ini sepatutnya dijadikan contoh dan ikutan di tempat-tempat lain pula,” katanya.

Sementara itu bagi Lim Yean Meng 56, berkata, dia sudah lama mengikuti ceramah daripada Mohd Kazim yang kebanyakannya dilihat menyentuh unsur kekeluargaan, peranan ibu bapa dan sebagainya.

Katanya kandungan ceramah yang disampaikan Mohd Kazim juga dilihat harmoni dan bersesuaian untuk semua.

“Saya dah ceritakan kepada rakan-rakan saya. Bukan Cina sahaja, India dan Sikh. Mereka tak percaya pada mulanya, tetapi kini percaya seratus peratus,” katanya.