PATI diarah bela diri atas pertuduhan edar dadah di parkir hospital

SEREMBAN - Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 4988.4 gram dan methamphetamine 1737.4 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap warga Indonesia, Zulkarnaini Baharudin, 41 dan Aris Munandar Muklis, 30.
"Bagi elemen pemilikan dadah, saya dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan berdasarkan sabitan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 terhadap tertuduh.
"Berkenaan elemen pengedaran dadah pula, saya dapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan berdasarkan takrifan di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952 dan tertuduh didapati menyimpan dadah berkenaan," katanya dalam prosiding keputusan di akhir pendakwaan.
Bagi tujuan membela diri, mahkamah memberi tiga pilihan sama ada tertuduh berdiam diri atau memberi keterangan secara tidak bersumpah atau bersumpah.
Kedua-dua tertuduh kemudian memilih memberi keterangan secara bersumpah.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah berkenaan berhampiran kawasan parkir awam Hospital Tuanku Jaafar di sini pada 11 April 2022 kira-kira jam 8.30 malam.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, perlu disebat tidak kurang daripada 15 sebatan.
Tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khirunnisa Hazwani Omar.
Mahkamah menetapkan 20 dan 21 November ini untuk tertuduh membela diri.
Ringkasan AI
- Dua PATI diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Seremban atas pertuduhan mengedar dadah
- Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua warga Indonesia
- Dadah yang didapati adalah kanabis seberat 4988.4 gram dan methamphetamine 1737.4 gram
- Tertuduh berpeluang memilih untuk berdiam diri, memberi keterangan tidak bersumpah atau bersumpah
- Jika sabit kesalahan, hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan boleh dikenakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

