TMNS 2026: LPNS terima tajaan Proton e.MAS 7

NILAI – Sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) menerima tajaan sebuah kenderaan elektrik (EV) iaitu Proton e.MAS 7 daripada sebuah syarikat swasta.
Majlis penyerahan EV itu diadakan dalam satu majlis ringkas di Proton e.MAS Nilai di sini pada Khamis.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, kenderaan itu akan digunakan oleh LPNS bagi tujuan mempromosikan pelancongan negeri serta mempromosikan EV pertama yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar kereta nasional, Proton.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak syarikat atas kesudian memberi sumbangan yang signifikan ini.
“Sumbangan ini amat bermakna kerana diterima tepat pada masanya ketika Negeri Sembilan sedang giat melaksanakan pelbagai persiapan menjelang TMNS 2026,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan tersebut.

Turut hadir, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar; Pengurus Besar LPNS, Isnizawati Muhammad Khairudin dan Pengarah Urusan LHM Evolve Sdn Bhd, Datuk Ryan Lai.
Mohd Zafir berkata, penggunaan EV akan membantu memperkukuh imej pelancongan hijau di negeri ini.
Pada masa sama katanya, ia turut memperkukuh jenama Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan yang lestari dan berdaya tahan.
“Sumbangan ini bukan sahaja membantu kelancaran operasi LPNS, malah meningkatkan imej negeri sebagai destinasi pelancongan moden, progresif dan mesra alam.
“Saya berharap Proton e.MAS Nilai akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri EV di negeri ini serta menjadi pusat rujukan utama bagi EV di Negeri Sembilan,” katanya.
Ringkasan AI
- Sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan menerima tajaan kereta elektrik Proton e.MAS 7
- Majlis penyerahan kereta elektrik diadakan di Proton e.MAS Nilai
- Kereta elektrik tersebut akan digunakan untuk mempromosikan pelancongan negeri dan Proton e.MAS sebagai EV pertama daripada Proton
- Sumbangan ini dilihat sebagai pemangkin kepada industri kenderaan elektrik di Negeri Sembilan
- Penggunaan EV diharap memperkukuh imej pelancongan hijau dan jenama Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan yang lestari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

