AMK Selangor tolak spekulasi tukar MB

Amirudin (kiri) Muhammad Iman (kanan).
Amirudin (kiri) Muhammad Iman (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menolak spekulasi kononnya akan berlaku pertukaran pucuk pimpinan kerajaan negeri yang dikaitkan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketuanya, Muhammad Iman Haziq berkata, dakwaan yang disiarkan sebuah portal berita itu disifatkan sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan menggugat kestabilan pentadbiran negeri.

“AMK Selangor menolak laporan portal berita yang memetik kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan di Selangor dalam masa terdekat.

"Spekulasi seperti ini tidak hanya mengalihkan fokus kerajaan negeri terhadap agenda rakyat, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan pemegang taruh terhadap Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kepimpinan Amirudin wajar dikekalkan kerana rekod pentadbirannya terbukti berjaya mengekalkan Selangor sebagai negeri termaju melalui dasar berintegriti dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

"Rekod ini jelas menunjukkan kredibiliti beliau sebagai sosok paling layak menerajui kepimpinan negeri ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Iman turut mengingatkan semua pihak termasuk Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak mengambil kesempatan mencari publisiti murahan dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak berpijak pada realiti.

"Sebarang perbincangan berkaitan kepimpinan negeri seharusnya dibuat melalui saluran dalaman parti dengan mengutamakan disiplin organisasi," tegas beliau.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan rombakan Kabinet di peringkat Persekutuan dijangka memberi kesan kepada pentadbiran Selangor apabila timbul spekulasi kononnya Amirudin bakal menggantikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan:

Tempoh pelantikan Tengku Zafrul sebagai senator dilaporkan tamat pada 2 Disember ini, sekali gus mencetuskan khabar angin mengenai kemungkinan perubahan kepimpinan di Selangor.

Portal itu turut mendakwa Amirudin dilihat sebagai calon paling sesuai dan berpengalaman untuk mengisi jawatan tersebut berdasarkan rekod kepimpinannya di negeri paling maju dan menjadi destinasi utama pelaburan asing di negara ini.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan lebih cenderung memilih ADUN Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah bagi menggantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.

Ringkasan AI

  • AMK Selangor menolak spekulasi tentang pertukaran kepimpinan negeri Selangor
  • Spekulasi tersebut dinilai sebagai usaha menjejaskan kestabilan kerajaan negeri dan fokus kepada agenda rakyat
  • Rekod pentadbiran Amirudin menunjukkan beliau layak kekal sebagai Menteri Besar Selangor
  • Muhammad Iman mengkritik tindakan mencari publisiti yang tidak berdasarkan realiti
  • Spekulasi bermula dari laporan tentang perubahan potensial akibat rombakan Kabinet di peringkat Persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!