Aaron fokus 100 peratus Sukan SEA Thailand

Ali Rustam (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada Aaron yang dinobatkan Olahragawan Melaka 2023/2024 pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka ke-39 pada Isnin. FOTO: BERNAMA
Ali Rustam (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada Aaron yang dinobatkan Olahragawan Melaka 2023/2024 pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka ke-39 pada Isnin. FOTO: BERNAMA
A
A
A

JAGUH beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia, kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapan menghadapi Sukan SEA di Thailand bulan depan selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Melaka pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Tahun 2023/2024, pada Isnin.

Atlet kelahiran Batu Berendam berusia 28 tahun itu menegaskan bahawa dalam tempoh persediaan menghadapi temasya dwitahunan berkenaan, beliau akan memfokuskan sepenuhnya kepada latihan sepanjang bulan ini tanpa menyertai sebarang pertandingan susulan jadual padat di Eropah bulan lalu.

“Anugerah ini sememangnya memberi semangat tambahan dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Melaka yang sentiasa memberikan sokongan.

“Fokus utama saya sekarang ialah menumpukan latihan bagi menyumbangkan pingat untuk kontinjen negara di Sukan SEA Thailand,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, atlet berkenaan menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, dan membawa pulang trofi, piala pusingan serta wang tunai berjumlah RM3,000.

Aaron berkata, beliau berkemungkinan bergandingan dengan pemain lain dalam acara beregu lelaki sebagai percubaan gandingan baharu, namun sebarang keputusan akan ditentukan oleh jurulatih.

Bagaimanapun, beliau yakin tidak menghadapi masalah sekiranya bergandingan dengan Man Wei Chong atau Tee Kai Wun, yang juga atlet kelahiran Melaka.

Selepas Sukan SEA, Aaron dan rakan sepasukannya, Soh Woi Yik, dijadualkan bergandingan semula untuk menghadapi Kejohanan Jelajah Dunia di Hangzhou, China, pada Disember depan.

Aaron meraih gelaran itu buat kali kedua berturut-turut selepas menampilkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa, termasuk memenangi pingat gangsa acara beregu lelaki pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, dan Sukan Olimpik 2024 di Paris, selain muncul naib juara Kejohanan Seluruh England 2024 di Birmingham. – Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Aaron Chia menumpukan sepenuh perhatian pada persiapan menghadapi Sukan SEA di Thailand bulan depan selepas menjadi Olahragawan Negeri Melaka
  • Beliau akan memfokuskan sepenuhnya kepada latihan sepanjang bulan ini tanpa menyertai sebarang pertandingan
  • Anugerah Olahragawan Negeri Melaka memberi semangat tambahan kepada Aaron
  • Aaron berkemungkinan bergandingan dengan pemain lain dalam acara beregu lelaki di Sukan SEA sebagai percubaan gandingan baharu
  • Selepas Sukan SEA, Aaron dan rakan sepasukannya dijadualkan untuk menghadapi Kejohanan Jelajah Dunia di Hangzhou, China, pada Disember

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!