Arus Artik serang AS, bandar-bandar utama ‘beku’ lebih awal dari biasa

Udara Artik melanda Amerika Syarikat dengan suhu ekstrem bawah beku dan salji awal di beberapa negeri.
Udara Artik melanda Amerika Syarikat dengan suhu ekstrem bawah beku dan salji awal di beberapa negeri.
A
A
A

WASHINGTON – Arus udara Artik mula menyelimuti sebahagian besar Amerika Syarikat (AS) sejak hujung minggu ini, membawa cuaca dingin luar biasa dengan suhu merudum sehingga 20 darjah di bawah paras purata.

Fenomena itu dijangka mencatatkan bacaan terendah sejak musim bunga lalu.

Keadaan berkenaan menjadikan bandar-bandar utama di Midwest dan Pantai Timur diselubungi suasana musim sejuk lebih awal, malah beberapa negeri turut berpotensi menerima salji pertama tahun ini.

Di Minneapolis, penduduk dijangka berdepan suhu terasa (wind chill) mencecah bawah 15 darjah Fahrenheit (-9°C) pada pagi Ahad, manakala suhu sebenar sukar mencapai titik beku. Bacaan itu hampir menyamai suhu purata awal Disember.

Kebanyakan kawasan di tengah AS juga dijangka merekodkan suhu serendah 20 darjah Fahrenheit (-6°C) atau lebih rendah dan kekal dingin sepanjang hari. Di Chicago, suhu maksimum dijangka hanya sekitar 35°F (1.6°C), iaitu 15 darjah lebih rendah daripada paras biasa, manakala St. Louis pula mencatat sekitar 40°F (4.4°C).

Menurut perkhidmatan cuaca, pagi Isnin dijangka menjadi yang paling sejuk sejak musim bunga, dengan jutaan penduduk di timur Banjaran Rockies berdepan suhu di bawah titik beku. Beberapa bandar besar diramal mencatatkan rekod baharu suhu minimum menjelang pagi Selasa.

Suhu sejuk sekitar 32°F (0°C) dijangka meliputi sejauh Texas di selatan hingga ke kawasan Appalachians di timur. Di Buffalo, New York, suhu boleh menjunam ke paras 20°F (-6°C) dan hanya meningkat kepada 35°F (1.6°C) pada sebelah petang, jauh lebih rendah daripada purata 50°F (10°C) bagi awal November.

Bandar Atlanta turut dijangka mengalami perubahan suhu mendadak apabila suhu 70°F (21°C) pada Ahad dijangka merosot ke sekitar 45°F (7°C) pada Isnin dan 28°F (-2°C) menjelang pagi Selasa, berpotensi menjadi pagi paling sejuk sejak Februari lalu.

Tenggara AS jadi tumpuan udara sejuk

Artikel Berkaitan:

Rekod suhu rendah harian dijangka dicabar di beberapa bandar di wilayah Tenggara termasuk Birmingham dan Huntsville di Alabama, Baton Rouge di Louisiana, Savannah di Georgia serta Tampa dan Fort Myers di Florida.

Walaupun tidak seteruk di Selatan, kawasan Pantai Timur seperti Washington DC dan New York City turut dijangka mencatat suhu sekitar titik beku pada pagi Selasa, dengan faktor angin menjadikan keadaan terasa antara 20°F hingga 25°F (-6°C hingga -4°C).

Namun, keadaan sejuk ini dijangka tidak berpanjangan apabila suhu di kawasan tengah AS dijangka kembali ke paras normal menjelang Selasa, disusuli Pantai Timur pada Rabu.

Selain suhu rendah, udara Artik turut meningkatkan potensi salji di sekitar kawasan Great Lakes. Fenomena lake-effect snow dijangka berlaku selepas udara dingin melintasi tasik pada Ahad, dengan salji dijangka turun di Indiana, Michigan, Ohio, Pennsylvania dan New York sehingga Isnin malam.

Beberapa bandar seperti Chicago, Milwaukee dan Rochester, Minnesota juga berkemungkinan menyaksikan campuran hujan dan salji ringan, berpotensi menjadi salji pertama musim ini meskipun tiada penimbunan ketara dijangka.

Turut dijangka menerima salji ialah kawasan Ohio Valley dan Tennessee Valley menjelang Isnin, manakala kawasan tanah tinggi Appalachians dari West Virginia hingga sempadan North Carolina–Tennessee berpotensi menerima salji lebih tebal.

Fenomena ini menandakan permulaan musim sejuk yang tiba lebih awal daripada biasa di sebahagian besar Amerika Syarikat. – CNN

Ringkasan AI

  • Arus udara Artik menyelimuti sebahagian besar Amerika Syarikat membawa cuaca dingin
  • Suhu merudum hingga 20 darjah di bawah paras purata
  • Beberapa negeri berpotensi menerima salji pertama tahun ini
  • Pagi Isnin dijangka menjadi yang paling sejuk sejak musim bunga
  • Suhu di kawasan tengah AS dan Pantai Timur dijangka kembali ke paras normal menjelang Rabu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!