Taufan Kalmaegi kini dikesan 976 km dari Sabah - MetMalaysia

SHAH ALAM - Taufan Kalmaegi yang membadai Filipina kini dikesan kira-kira 976 kilometer (km) barat laut Kudat, Sabah berdasarkan cerapan setakat jam 2 petang ini.
Bagaimanapun, menurut Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kedudukan taufan itu berada pada latitud 13.3 Utara dan longitud 110.7 Timur, kira-kira 153 km ke Timur Laut Tuy Hoa, Vietnam.
Jelas agensi itu, pergerakan taufan dilaporkan ke arah Barat dengan kelajuan 30 km per jam manakala kelajuan angin maksimum 176 km per jam.
"Jarak dari bandar terdekat kira-kira 976 km ke Barat Laut Kudat, Sabah.
"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Taufan Kalmaegi berada kira-kira 405 km dari barat laut Kudat, Sabah, berdasarkan dapatan pada jam 8 malam Rabu.
Setakat semalam, angka kematian akibat Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat melebihi 90 orang hari ini manakala puluhan lagi hilang dan mengalami kecederaan.
Secara keseluruhannya, seramai 706,549 penduduk di 24 wilayah terjejas akibat taufan itu, termasuk 436,911 yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, menurut Pejabat Pertahanan Awam (OCD) Filipina.
Ringkasan AI
- Taufan Kalmaegi membadai Filipina kini berada 976 km barat laut Kudat, Sabah
- Taufan itu pada latitud 13.3 Utara dan longitud 110.7 Timur, 153 km ke Timur Laut Tuy Hoa, Vietnam
- Pergerakan taufan ke arah Barat dengan kelajuan 30 km per jam dan kelajuan angin maksimum 176 km per jam
- Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan
- Angka kematian akibat Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat melebihi 90 orang, dengan 706,549 penduduk terjejas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

