Tindakan tegas hari ini boleh selamatkan generasi esok

KETIKA dunia semakin tenggelam dalam hiburan digital tanpa batas, kerajaan kini meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI, susulan kebimbangan mengenai keselamatan dan kandungan yang mempengaruhi golongan muda.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan keputusan muktamad yang akan mengambil kira langkah Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox pada Disember ini.
Cadangan untuk mengkaji kemungkinan mengharamkan dua permainan terbabit mengingatkan semula kepada tindakan diambil terhadap permainan realiti maya di telefon pintar Pokemon GO sekitar tahun 2016.
Antara yang bertindak ketika itu ialah Kedah menjadi negeri pertama mengeluarkan fatwa permainan tersebut adalah haram dengan alasan bahawa kemudaratan yang tercetus daripada Pokemon GO ini adalah lebih besar.
Selain Kedah, Jawatankuasa Fatwa Melaka turut memutuskan umat Islam perlu menjauhi permainan siber, Pokemon Go dan dilarang untuk dimainkan kerana boleh membawa kemudaratan.
Kini, permainan seperti Roblox dilihat mencabar bentuk baharu bukan lagi sekadar hiburan mencari watak maya, tetapi platform sosial yang membolehkan pengguna mencipta dunia sendiri, berinteraksi dan bertransaksi secara maya.
Kejadian seorang abang mengelar adik kandungnya akibat pengaruh permainan video dalam talian itu menggemparkan masyarakat baru-baru ini, sekali gus insiden itu menjadi loceng amaran bahawa permainan maya bukan sekadar hiburan ia boleh mendorong emosi dan tingkah laku ekstrem jika tidak dikawal.
Jika dahulu Pokemon Go pernah dan berjaya diharamkan di negeri seperti Kedah, maka tidak mustahil Roblox juga boleh diharamkan, apatah lagi kemudaratan jelas terutamanya dalam kes kanak-kanak enam tahun dikelar baru-baru ini.
Walaupun bukan mudah untuk melaksanakan pengharaman menyeluruh, apa salahnya tindakan segera diambil seperti menghadkan usia pengguna, asalkan langkah itu membuahkan hasil dan mampu mengurangkan ketagihan pengguna khususnya kanak-kanak terhadap permainan itu.
Dalam dunia digital yang penuh godaan dan pengaruh luar kawalan, keberanian untuk bertindak tegas hari ini boleh menjadi benteng awal daripada keruntuhan nilai generasi akan datang.
Tindakan berani hari ini mungkin menjadi penyelamat generasi esok.
Ringkasan AI
- Kerajaan meneliti kemungkinan mengharamkan Roblox dan UMI kerana kebimbangan keselamatan dan pengaruh buruk
- Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat membincangkan dengan mengambil kira langkah Australia terhadap Roblox
- Cadangan mengharamkan dua permainan tersebut berdasarkan tindakan sebelumnya terhadap Pokemon GO
- Kes pengaruh negatif permainan video dalam talian, seperti kejadian abang mengelar adik
- Menimbang tindakan seperti menghadkan usia pengguna untuk mengurangkan ketagihan terutama di kalangan kanak-kanak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

