Isu baki bayaran RM100,000 Vida, syarikat subkontraktor enggan komen

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Syarikat subkontraktor, AH Design Communication Sdn Bhd memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan berhubung kenyataan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida mengenai baki bayaran RM100,000 yang masih belum dijelaskan.

Peguam mewakili syarikat itu, Samir Zainal berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut berkaitan perkara tersebut.

"Kami tiada komen," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Terdahulu, Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman, 54, dalam siaran langsung TikTok pada Khamis menegaskan beliau tidak menyesal mempertahankan prinsipnya walaupun pelbagai barangan termasuk kereta mewah dilelong pada hari sama.

"Saya memang tak nak bayar. Walaupun mampu, tapi hati saya sakit. Bayar bank RM100,000 sebulan tunggu projek siap, tapi tiga tahun tak siap-siap.

"Kalau saya bayar, reputasi saya hilang nilai. Tapi kalau saya lawan, orang tetap mengata. Saya tetap kuat sebab saya percaya kita kena pandang ke depan," katanya.

Pada Khamis media melaporkan, semua barangan peribadi milik Vida termasuk tiga kenderaan mewah dilelong dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1 juta di kediamannya di Meru Heights, di sini.

Proses lelongan yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu tamat sekitar jam 1.40 petang dengan melibatkan dua pembida, namun hanya seorang usahawan, Norzamri Abdullah berjaya memperoleh semua barangan yang disenaraikan selepas seorang lagi pembida menarik diri.

Ketika ditemui selepas lelongan itu, Samir memaklumkan pembida berkenaan perlu melengkapkan proses pembayaran kepada pihak mahkamah sebelum jam 4.30 petang hari sama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat baki tuntutan berjumlah kira-kira RM100,000 yang bayaran lanjutnya akan ditentukan kemudian berdasarkan arahan dan perbincangan bersama anak guamnya.

"Saya difahamkan tuntutan bagi baki itu masih akan diteruskan tetapi jumlahnya tidak besar seperti sebelum ini.

"Mungkin akan ada proses susulan, sama ada melalui rundingan atau tindakan lain, namun ia bergantung kepada keputusan seterusnya,” jelasnya.

Antara aset yang dilelong ialah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7 selain 727 barangan dalam rumah seperti set sofa, meja makan, televisyen, penghawa dingin, teleskop, gitar elektrik, piano, set karaoke, meja pool, hiasan dinding dan pasu.

Ringkasan AI

  • Syarikat subkontraktor, AH Design Communication Sdn Bhd enggan memberikan ulasan tentang tuntutan baki bayaran RM100,000 oleh Datuk Seri Vida
  • Datuk Seri Hasmiza Othman menegaskan beliau tidak menyesal mempertahankan prinsip walaupun terpaksa melihat barangan termasuk kereta mewahnya dilelong
  • Barangan peribadi milik Vida termasuk tiga kenderaan mewah dilelong dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1 juta
  • Lelongan itu melibatkan dua pembida tetapi hanya seorang usahawan, Norzamri Abdullah yang berjaya memperoleh semua barangan
  • Masih terdapat baki tuntutan berjumlah kira-kira RM100,000 yang bayaran lanjutnya akan ditentukan kemudian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!