Dua rakan kapten didakwa cederakan leftenan muda

Kedua-dua tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Kedua-dua tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Dua rakan berpangkat kapten di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat atas tuduhan mencederakan seorang leftenan muda dalam kejadian di Kem Terendak, Sungai Udang pada Februari lalu.

Tertuduh, Mohamad Solehudin Darus, 30, dan Ahmad Hazlan Haris Azman, 28, masing-masing bertugas di Rejimen Pertama Artileri Diraja Para, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bertindak mencederakan seorang lelaki berusia 26 tahun di bahagian muka, belakang badan serta paha di hadapan Mes Pegawai Rejimen Pertama Artileri Diraja Para, Kem Terendak di sini, antara jam 2.30 pagi hingga 6 pagi, pada 22 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd Rodzlad mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh dengan syarat tambahan supaya mereka tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Namun, Peguam P Shamala yang mewakili mereka memohon jaminan lebih rendah antara RM1,000 hingga RM2,000 dengan alasan kedua-dua tertuduh yang masih bekerja merupakan penanggung utama keluarga selain menyara adik yang masih menyambung pengajian di peringkat universiti.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 18 Disember depan untuk serahan dokumen.

end

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Dua kapten ATM didakwa mencederakan seorang leftenan muda di Kem Terendak
  • Mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan lelaki berusia 26 tahun
  • Dituduh bertindak secara bersama mencederakan mangsa di bahagian muka, belakang badan, dan paha
  • Tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya
  • Mahkamah tetapkan jaminan RM3,000 setiap seorang dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!