Penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia

Hajiji (tengah) bersama Mufti Kerajaan Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar (kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR di Kota Kinabalu pada Isnin.
Hajiji (tengah) bersama Mufti Kerajaan Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar (kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR di Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Gunung Kinabalu mencatat satu lagi sejarah apabila monumen penanda arah kiblat yang terletak di kilometer lapan (KM8) gunung berkenaan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia.

Pengiktirafan rasmi itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menerusi Majlis Pengiktirafan MBOR bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia yang berlangsung di sini pada Isnin.

Hajiji dalam ucapannya menyifatkan pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian fizikal, tetapi juga simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi dan ketahanan fizikal dalam satu projek unik dan bermakna.

"Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan hanya rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi," katanya.

Katanya, pemasangan monumen kiblat di Gunung Kinabalu amat signifikan kerana ia membantu pendaki beragama Islam menentukan arah kiblat dengan tepat semasa menunaikan solat di altitud tinggi, sekali gus menyelesaikan cabaran pelaksanaan ibadah di kawasan ekstrem.

"Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular dalam kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa. Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran. Usaha ini amat tepat pada masanya, memberikan kemudahan dan keyakinan kepada mereka untuk menunaikan solat dengan sempurna," ujarnya.

Menurut Hajiji, monumen berkenaan dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut di KM8 Gunung Kinabalu, menjadikannya penanda arah kiblat tertinggi di negara ini.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan dalam beberapa fasa, bermula dengan tinjauan awal dan penentuan arah kiblat menggunakan kaedah falak oleh Pejabat Mufti Sabah, disusuli kerja-kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Turut terlibat dalam projek ini ialah Taman-Taman Sabah (TTS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pejabat Ketua Menteri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sinergi semua agensi itu membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, ia mampu mencipta satu kejayaan besar.

"Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan ALLAH SWT," katanya.

Beliau berkata, kewujudan monumen berkenaan bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra umat Islam di rantau ini, malah turut memperkasakan penghayatan serta ilmu falak dalam kalangan masyarakat.

"Pelancong Islam kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal, sekali gus membuktikan sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni," katanya.

Beliau yakin, pendekatan sebegini boleh dijadikan model rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha menggabungkan pembangunan fizikal dan rohani secara seimbang.

Hajiji turut menegaskan, pencapaian ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan boleh dicapai melalui ilmu, semangat dan kerjasama.

"Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah. Ia simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani," tegasnya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif berteraskan keagamaan, ilmu dan inovasi seiring aspirasi Sabah Maju Jaya, yang membangunkan rakyat bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga nilai dan akhlak.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!